Dengan Doa Dan Semangat, Piala Malaysia Akan Jadi Milik Kedah 30 Okt Ini


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meluahkan keyakinan bahawa skuad Helang Merah bakal membawa pulang Piala Malaysia kembali ke bumi Jelapang Padi pada malam penentuan 30 Oktober ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu berkata, prestasi terkini skuad kebanggaan negeri itu berada ditahap terbaik di mana hampir semua kesebelasan utama pemain bebas dari masalah kecederaan dan seumpamanya.

"Ya, saya percaya pada tahun ini.. Walaupun Selangor tidak kurang hebat juga melakukan persiapan, tapi kita pun tidak kurang juga membuat persediaan terbaik.. Jadi insyaAllah, saya yakin kita akan menang.

"Tahun sudah (lepas) kita terlepas peluang untuk membawa balik Piala Malaysia. Tapi tahun ini inshaAllah, dengan semangat dan doa semua rakyat dan peminat bola sepak negeri Kedah, saya yakin kita akan bawa balik piala itu ke Kedah pada tahun ini," katanya.

Ahmad Bashah berkata, beliau akan bertemu dengan semua pemain Helang Merah dalam satu majlis makan malam sebelum mereka ke Shah Alam bagi memberikan kata semangat dan harapan agar memberikan yang terbaik pada perlawanan akhir nanti.

"Kita akan buat keputusan dalam mesyuarat Exco nanti tentang apakah ganjaran yang akan kita berikan," kata beliau mengenai ganjaran kepada skuad Helang Merah ekoran prestasi terbaik yang dipamerkan musim ini.

Justeru itu katanya, seluruh rakyat dan penyokong bola sepak negeri Kedah atas semangat kesukanan perlu bersatu-padu memberi dorongan dan galakan kepada skuad Helang Merah untuk membawa pulang piala berprestij yang menjadi rebutan seluruh negara itu.

"Kita harap agar ramai rakyat Kedah, khususnya penyokong Hijau Kuning akan berada di stadium (Shah Alam) pada 30 Oktober ini. Saya sendiri akan berada di situ," katanya, sekaligus menepis dakwaan kononnya beliau tidak akan hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 itu.

Beliau berharap agar para penyokong setia Hijau Kuning nanti tidak akan berganjak dari stadium dan terus menyemarakkan semangat kepada semua pemain pasukan Helang Merah yang berjuang di atas padang dari mula hingga ke akhir wisel penamat perlawanan.

Namun begitu, beliau berpesan agar menjaga tatasusila dan budaya orang Kedah yang terkenal mementingkan akhlak yang baik, serta menjaga imej negeri Jelapang Padi yang baik budi bahasanya, terutama ketika bertandang ke negeri orang.

"Kita perlu jaga tingkah laku kita, jangan buat sesuatu yang boleh menjejaskan nama baik Hijau Kuning. Kita tak mahu perkara negatif berlaku seperti membawa masuk sesuatu yang tidak dibenarkan," pesan beliau.

Jelas Ahmad Bashah, tindakan seumpama itu bukan saja mencemar nama baik peminat bola sepak negeri Kedah yang sebelum ini dihormati kawan dan lawan, malah ia berkemungkinan menggangu emosi kesebelasan utama skuad Helang Merah yang sedang berjuang.

Mengulas tentang desas-desus yang mengatakan segelintir penyokong Kedah yang mengancam akan melakukan provokasi terhadap beliau di Stadium Shah Alam nanti, Ahmad Bashah menjelaskan bahawa beliau tidak berminat untuk melayan kerenah tidak sihat tersebut.

"Saya tak layan sangat provokasi sebegitu. Orang cakap nak booo.. begitu dan begini. Sebab itu saya katakan para penyokong mesti bersatu-padu (dengan semangat kesukanan), saya hanya beri fokus pada memberi kepada perkara itu saja. Saya tak layan sangat provokasi ni.

"Kalau provokasi ini dimainkan oleh pihak tertentu, makna kata rendahlah moral orang yang buat provokasi tu," jelas beliau. 

Ahmad Bashah berkata demikian sejurus selepas menyempurnakan Majlis Jamuan dan Penyampaian Sumbangan Sempena Deepavali kepada 720 orang masyarakat India dari seluruh negeri Kedah di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon, petang semalam. -Kedahnews.com