"Depa Boleh Cakap 70%, 80%,Tapi Hakikatnya..."


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia bebas untuk viralkan berapa saja jumlah keahlian parti itu yang berjaya "dicuri" dari UMNO kepada rakyat Kedah, namun hakikatnya jumlah berkenaan tidak seperti yang didakwa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tidak dinafikan bahawa ada segelintir ahli UMNO yang menyertai PPBM di Kedah, namun beliau tahu tentang "siapa" dan "berapa" jumlah sebenar yang khianat pada perjuangan parti itu.

"Ya la itu viral.. depa boleh cakap 70 peratus, 80 peratus...

"Tapi hakikatnya, tidak (begitu).. Sebenarnya ada (yang menyertai PPBM), bukan tak ada. Kita akui ada ahli UMNO yang kecewa, yang 'tenggelam' sebelum ini, dah hilang dari skrin radar, depa balik la (kembali aktif berpolitik)," kata beliau bersahaja.

Ahmad Bashah berkata, penubuhan parti baru itu telah membuka peluang kepada golongan-golongan ini untuk membuat "come back" dalam dunia politik tempatan dan akan dilantik menjawat pelbagai jawatan dengan mudah.

"Ini peluang mereka naik jadi Ketua Cawangan, peluang mereka dulu nak jadi Ketua Bahagian tapi tak menang. Lawan Jawatankuasa Bahagian pun tak menang, inilah masa dan ketikanya nak balik nak jadi ketua.. jadi dia daftar (PPBM) sajalah.

Namun beliau menjelaskan bahawa tanggungjawab dan komitmen untuk menggalas amanah sebagai seorang ketua bukanlah semudah yang disangka di mana ia memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit dan sudut wang ringgit, kemahiran memimpin dan sebagainya.

"Tapi bukan mudah untuk nak memimpin cawangan dan juga bahagian. Lepas ni depa akan rasalah dia punya bebanan yang akan ditanggung. Dengan perbelanjaan semua.. bukan mudah.

"Awak jadi ketua cawangan, nak maintain cawangan, awak jadi ketua bahagian awak nak maintain bahagian. Katalah ada 10 cawangan dalam bahagian tu, daripada mana nak dapat duit (nak maintain) semua tu? Depa akan cari (Datuk Seri) Mukhriz la..

"Lepas tu barulah depa akan tahu...," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, semalam.

Ahmad Bashah diminta mengulas mengenai propaganda PPBM Kedah yang tersebar di media sosial mendakwa kononnya parti baru itu telah berjaya menarik 63 peratus ahli dan pemimpin UMNO Negeri Kedah untuk menyertai parti tersebut.

Mengulas mengenai cakap-cakap politik yang mengatakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dijangka berlangsung pada tahun depan (2017), Ahmad Bashah menjelaskan bahawa Barisan Nasional Negeri Kedah telah bersiap siaga dengan segala keperluan pilihan raya.

Kata beliau, Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah telah memulakan gerakan di setiap peringkat cawangan, bahagian dan peti-peti undi dengan penglibatan semua sayap-sayap parti serta parti-parti komponen BN.

"Kita buat andaian pilihan raya ni berlaku pada tahun depan. Jadi lebih baik kalau kita buat persiapan awal. Kalau tak berlaku alhamdulillah, kalau berlaku dan kita tak buat persiapan awal, kita akan terjebak.

"Jadi sebab itu persiapan bagi menghadapi PRU ke-14 ni, UMNO Negeri dan BN negeri Kedah kita dah bersiap sedia. Persiapan peralatan pun kita dah siap, tak kiralah bendera dan sebagainya pun dah siap.

Beliau menjelaskan bahawa BN Negeri Kedah menyerahkan keputusan untuk mengadakan PRU ke-14 kepada Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk memutuskan tarikh yang sesuai.

"Jadi kalau Presiden kata awal tahun atau pertengahan tahun, kita sudah bersedia. Sebab tu kita dah mula gerakkan jentera di semua peti-peti undi.

"Cuma kita serah pada Presiden bila beliau nak umum. Tapi jentera kita dah mula gerak, wanita, pemuda, puteri.. daripada semua cawangan dan peti-peti undi, termasuklah kawan-kawan dalam BN (parti-parti komponen)," jelas beliau. -Kedahnews.com