Derita Darwisy Dapat Perhatian, Simpati Al-Qalam

Adik Muhammad Darwisy bersama ibunya Wan Nur Mustiqah Wan Othman.
KUALA NERANG - Kisah penderitaan Muhammad Darwisy Muqri Mohd. Fazli, 2, yang  disahkan mengalami masalah jantung sejak lahir mendapat perhatian Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia.

Pengasas Al-Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu berkata, beliau akan cuba merawat penyakit adik Muhammad Darwisy secara khusus melalui kaedah perubatan Islam.

Beliau berkata, tahap kesihatan anak kecil itu merosot selepas badannya membengkak disebabkan penyakit jantungnya itu selain masalah paru-paru berair sehingga terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

“Saya cuba membantu adik Muhammad Darwisy, yang menyembuhkannya kuasa ALLAH SWT. Kita berdoa dan berusaha semoga penyakit adik Muhammad Darwisy dapat disembuhkan,” katanya, kelmarin.

Pertubuhan itu berada di Kuala Nerang selama dua hari untuk mengagihkan sumbangan kepada lebih kurang 150 orang asnaf dan miskin di kawasan ini melalui program Sentuhan Kasih, esok.

Program diadakan di Pusat Komuniti Masyarakat Cikgu Hashim Kampung Barokhas akan dihadiri Exco Negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Pada program itu, Baharuddin akan memberikan rawatan secara percuma kepada golongan warga emas dan golongan kurang mampu.

"Program ini antara lain bertujuan  membudayakan masyarakat sihat terutamanya di kalangan masyarakat desa yang kebanyakanya terdiri dari petani dan nelayan," katanya.

Beliau berkata, program sebelum ini telah diadakan di Banting, Selangor; Temerloh, Pahang; Kota Bharu, Kelantan dan Setiu, Terengganu mendapat sambutan  cukup hebat daripada masyarakat setempat.

Baharuddin turut mengundang masyarakat sekitar Kuala Nerang untuk mengambil peluang daripada program ini yang menawarkan rawatan secara Islam secara percuma.

“Bantuan seumpama ini lazimnya dijalankan pada bulan Ramadan, kami jalankan hasil daripada sumbangan pesakit yang sembuh selepas menerima rawatan di Al-Qalam,” katanya.

Sumber: Sinar Harian