Dr Fauziah Berdepan Kepungan Israel, Bawa Misi Aman Ke Gaza

SERAMAI 13 orang serikandi berjiwa besar dari 13 buah negara kini telah memasuki fasa terakhir dalam misi pelayaran solidariti memecah kepungan rejim Israel ke atas wilayah Gaza.

Wakil tunggal negara, Dr. Fauziah Mohd. Hassan yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) adalah satu-satunya peserta dari rantau Asia Tenggara dalam misi pembebasan tersebut.

Difahamkan kumpulan 13 serikandi dijadualkan tiba di perairan Gaza pada Rabu kira-kira pukul 11 pagi waktu Malaysia menaiki sebuah flotila atau kapal kecil yang dikenali sebagai Zaytouna.

Tujuan misi ini adalah untuk menghentikan kepungan Israel ke atas Gaza dan memastikan nasib rakyat Palestin terus mendapat perhatian dan pembelaan dunia seperti manusia lain.


Mereka berlepas dari Barcelona, Sepanyol pada 14 September lalu dengan pesera terdiri daripada wakil Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia.

Menurut kenyataan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad, Dr. Fauziah tekad meneruskan pelayaran meskipun ada ura-ura mengatakan pihak Israel sedia menahan Zaytouna daripada memasuki Gaza.

Namun segalanya perlu dihadapi dengan tenang oleh Dr. Fauziah dan anggota serikandi yang lain kerana mereka percaya dengan mesej yang dibawa bukan berbentuk provokasi atau konfrontasi.

“Anak-anak kapal Zaytouna sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan sekiranya kami dihalang oleh tentera rejim Israel.

“Zaytouna memilih jalan aman; tanpa provokasi dan konfrontasi. Mesejnya adalah cinta, keamanan dan kemanusiaan. Prinsipnya adalah menolak keganasan.

“Krew dan anak kapal kesemuanya adalah wanita dan memang terlatih dengan pendekatan aman,” katanya.

“Aman di sini bukan bermaksud lemah. Aman bahkan adalah pilihan strategik. Tentera yang asyik dengan kezaliman akan kekok dan buntu berdepan dengan keamanan.”

Selain itu, pihak IKRAM juga menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan kejayaan dan keselamatan Dr. Fauziah serta misi menghentikan kezaliman Israel. – Kedahnews.com