Dukun Dakwa Ambil Wang Dari Bank Ghaib Dijaga Jin


PEKANBARU – Polis Indonesia menahan seorang dukun, Ki Purbo Lalang Jati, atas tuduhan menipu orang ramai selepas mendakwa dapat ganda wang mangsa dengan ambil wang di ‘bank ghaib yang dijaga jin.’

Ketua Polis Pekanbaru, Toni Hermawan berkata, dalam modus operandinya, lelaki berusia 35 tahun itu akan meminta sejumlah wang daripada mangsa, kononnya untuk dijadikan umpan, sebelum dia boleh mengambil wang dari bank ghaib itu.

“Dia akan melakukan pelbagai ritual pelik untuk mengelabui mangsa. Mangsa pula akan dikehendaki menyediakan wang berkenaan beberapa kali. Tetapi wang yang dikatanya akan diambil dari bank ghaib itu tidak ada,” kata Toni.

Menurutnya, pihaknya kemudian menangkap Ki Purbo selepas menerima aduan daripada 10 mangsa, termasuk seorang penuntut yang berkata, dia ditipu sebanyak 63 juta rupiah (kira-kira RM20,000).

Selain itu, menurut Toni, lelaki itu juga dikatakan menjual ‘toyol’ dengan harga 5 juta rupiah (kira-kira RM1,600) setiap satu. – Agensi