EKSKLUSIF: "Saya Rasa Tertipu Selama 13 Tahun"

Tinggal kenangan...
ALOR SETAR - "Saya rasa seperti tertipu selama 13 tahun oleh Tun Mahathir," itu luahan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa, ketika ditanya tentang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jelasnya, Tun Mahathir yang ketika itu merupakan Presiden UMNO telah menanam jiwanya untuk setia pada pucuk pimpinan dan parti, namun malang apabila Perdana Menteri yang pernah digelar oleh pembangkang dengan perkataan "Maha Firaun" dan "Maha Zalim" itu sendiri berpaling arah, tidak mengotakan kata-katanya.

Syed Hafiz dalam wawancara eksklusif dengan Kedahnews.com hari ini menjelaskan bahawa setelah menamatkan usia persekolahan dalam usia 18 tahun ketika itu, jiwanya begitu teruja untuk berjuang bersama UMNO dan patuh pada konsep perjuangan jemaah parti yang menuntut dirinya untuk setia.

"Sejak dari alam persekolahan lagi buku-buku sejarah menceritakan sejarah parti perjuangkan kemerdekaan. Sejarah pembentukan negara hasil dari kesepakatan dan yang jelas, DAP sejak dari dahulu lagi dilabel sebagai pembangkang yang sering menghasut rakyat. Hari ini masih relevankah buku-buku sejarah itu?

"Habis sekolah, saya terussertai UMNO. 25 tahun saya sudah bersama UMNO. Pengalaman yang masih cetek dengan perbezaan 45 tahun jika dibandingkan dengan usia UMNO yang telah menjangkau 70 tahun.

"Dalam tempoh itu, Tun Mahathir sedang mengemudi UMNO dan saya sempat bersama perjuangan dalam suasana tercari-cari, tidak sedar dan mulai sedar betapa pentingnya perjuangan parti dan Tun Mahathir pernah menjadi Presiden saya selama 13 tahun.

"Jiwa saya sudah tertanam setia pada parti dan perjuangannya. Pentadbiran Tun Mahathir mengajar saya untuk setia pada Presiden parti dan institusi parti. Patuh pada keputusan pucuk pimpinan. Pelbagai perkara berlaku sengol-sengolan dalam parti dan contoh yang segar dalam ingatan tentang pemecatan Timbalan Presiden pada ketika itu.

"Dalam usia remaja saya teruja dengan pendekatan yang dimainkan UMNO dan salah seorang pemimpin yang dihormati ketika itu adalah Datuk Seri Anwar. Walaupun suka dengan pendekatan yang dibawa Datuk Seri Anwar ketika itu, saya amat terkejut dengan isu pemecatan yang berlaku.

"Saya sempat merujuk dengan orang yang lebih lama dalam politik ketika itu dan keputusan yang dibuat saya dan rakan-rakan harus pertahankan Tun Mahathir sebagai Presiden yang disanjung.

"Saya dan kawan-kawan terus pertahan Tun Mahathir, kami tentang Datuk Seri Anwar habis-habisan.Kami pertahan Tun Mahathir walaupun Datuk Seri Anwar gunakan media asing yang hebat untuk hentam Presiden kami.

"Untungnya ketika itu tiada lagi media maya yang ada seperti Facebook, Whatsapp, Wechat dan sebagainya. Setiap kali berceramah segala 'flyers' berbentuk risalah-risalah telah diedar ke dalam raga-raga motosikal, pintu pagar dan sebagainya.

"Tun Mahathir guna kuasa, guna polis, guna FRU, gas pemedih mata, 'water cannon', apa saja yang boleh diguna untuk sekat Datuk Seri Anwar. Penangan dari Tun Mahathir ketika itu lebih teruk dari apa yang berlaku terhadap puak Bersih sekarang.

"Saya dan rakan-rakan tetap teguh dan setia pada parti walau Datuk Seri Anwar menubuhkan parti  Keadilan (PKR) yang cuba memancing kami ketika itu. Kami pertahan Tun Mahathir selaku Presiden. Ramai yang desak beliau letak jawatan masa tu. Tapi beliau tak letak jawatan pun. Kalau semua ahli UMNO masa tu tidak pertahan Tun Mahathir, dah lama dah beliau jatuh," katanya mengimbas kembali senario kekalutan politik negara sekitar 1997-1999.


Malah kata Syed Hafiz, Tun Mahathir berkali-kali memberi amaran supaya berhati-hati dengan DAP yang dilabel sebagai sebuah parti pembangkang yang paling rasis serta tidak pernah restu tentang kepentingan Islam dan umatnya di negara ini.

Katanya, bukan sekali dua Tun Mahathir mencerca dan mengutuk sikap "chauvinis" DAP ketika itu, malah bekas Presiden UMNO itu berulang kali menyerang kepimpinan parti pembangkang itu khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

"Saya masih ingat ketika itu, Tun Mahathir selalu kata DAP itu parti paling rasis. Terlalu rasis dan 'cauvinis'. Depa memang tidak pernah redha pada kepentingan Islam di negara kita. Itu yang Tun Mahathir beritahu kami dulu tentang DAP, Lim Kit Siang, mendiang Karpal Singh dan sebagainya. Kami percaya.

"Percaya atau tidak, sukar saya pemikiran saya untuk terima apabila melihat Tun Mahathir boleh duduk bersama mereka yang dikatakan beliau dulu dan berpakat pula untuk menjatuhkan Presiden UMNO.

"Apa yang Tun Mahathir tak pernah kata pada DAP? Apa yang beliau tak pernah sebut pada Kit Siang, mendiang Karpal dan sebagainya. Kit Siang, Guan Eng dan ramai lagi pemimpin DAP,PKR,PAS pernah dipenjara di bawah akta hasutan Tun Mahathir dulu. Tun Mahathir tekan DAP habis-habisan," katanya lagi.

Namun kata Syed Hafiz, setelah meletak jawatan dalam ucapan yang tidak terancang dan hari ini melihat anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mendapat sokongan majoriti akar umbi parti UMNO untuk menjadi pemimpin UMNO dan kemudian digugurkan dari jawatan Menteri Besar Kedah, Tun Mahathir bertukar "warna" 360 darjah.

"Tapi Dato' Seri Najib beri muka juga pada anak Tun Mahathir, mungkin sebab pengaruh Tun Mahathir juga. Datuk Seri Mukhriz pula hanya bertanding dengan 'aura' ayahnya. Sedangkan, jika beliau anak Pak Ngah Omar atau Pak Ngah Jib (bukan nama sebenar), beliau mungkin sukar untuk mendapat tempat di dalam UMNO. Namun begitu, beliau dilantik jadi Menteri Besar Kedah atas kuasa Presiden UMNO.

"Kami di Kedah akur dan patuh, tak melawan pun. Kami tahu Datuk Seri Ahmad Bashah yang buat kerja selama 5 tahun menyatukan semua UMNO Bahagian di Kedah ni. Masa tu UMNO di Kedah ada masalah dalaman.

"Dengan konsep Muafakat yang hari ini diguna kembali, itulah Datuk Seri Ahmad Bashah yang telah menyatukan kembali pejuang-pejuang parti walaupun tidak secara total. Masa tu UMNO Kedah jadi pembangkang. Siapa yang peduli? Ada Tan Sri Muhyiddin Yassin turun bantu? Semuanya letak atas kepala Dato' Seri Ahmad Bashah. Sepak terajang politik semua beliau dan rakan-rakan kepimpinan ketika itu yang tanggung.

"Datuk Seri Mukhriz hanya balik ke sini kira-kira 4 bulan sebelum PRU ke-13. Itu pun lepas semua masalah UMNO di Kedah banyak yang sudah selesai. Datuk Seri Mukhriz balik sini sekejap, lepas tu PRU, BN menang dan kerusi empuk terus tersedia untuknya. Segalanya Dato' Seri Ahmad Bashah sudah sediakan untuk Dato Seri Mukhriz masa tu.

"Hampir 3 tahun, Datuk Seri Mukhriz boleh dikatakan banyak terlepas pandang tentang soal parti. Soal jentera parti dan daftar pemilih misalnya, UMNO jauh ketinggalan berbanding negeri lain. Padahal dia popular dan boleh gunakan kelebihan itu.

"Beliau juga kurang peduli tentang pemerkasaan sayap-sayap parti khususnya Pemuda UMNO sendiri. Pemuda UMNO negeri sering ditinggalkan dalam penglibatan program-program anjuran Kerajaan Negeri yang memberi manfaat kepada rakyat, seolah diketepikan begitu saja.

"Lepas Datuk Seri Mukhriz digugurkan, maka Tun Mahathir beralih arah 360 darjah. Paling mudah baginya, Tun Mahathir salahkan Datuk Seri Najib dan Dato Seri Ahmad Bashah. Dua pemimpin yang kononnya sengaja merencana gerakan untuk menjatuhkan Datuk Seri Mukhriz. Padahal anaknya sendiri yang jatuhkan diri sendiri.

"Saya melihat gerakan Tun Mahathir seolah-olah meniru gaya politik DAP. Mereka membunuh karektor politik Presiden dengan harapan parti itu akan berkubur ekoran kehilangan pemimpin tertinggi parti.

"Pada saya, inilah yang dikatakan sebagai politik 'dusta'. Tun Mahathir sendiri 'berdusta' kepada segala jasa beliau sebagai Presiden UMNO, beliau tidak setia pada pucuk pimpinan seperti yang beliau ajar kami suatu ketika dulu. Beliau lupa atau tidak menghormati proses pemilihan pucuk pimpinan di setiap peringkat parti secara demokrasi seperti yang diamalkan di zaman beliau dulu.

"Malah lebih mengecewakan, beliau tubuh parti semata-mata untuk jatuhkan Presiden dan mahu kuburkan UMNO. Tindakan itu sangat berlawanan dengan apa yang Tun Mahathir terapkan pada saya dulu. Jauh sangat menyimpangnya.

"Macam mana saya mahu percaya perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?" katanya, mempersoal perubahan aneh pada bekas Presiden UMNO tersebut.

Justeru itu, Syed Hafiz ketika mengakhiri wawancara eksklusif bersama Kedahnews.com meluahkan rasa kecewa beliau atas perubahan sikap Mahathir yang disifatkan amat menyedihkan selain memohon doa agar beliau kembali ke pangkal jalan.

"Saya kecewa sangat. Saya keliru dengan Tun Mahathir yang sekarang. Tun Mahathir yang dulu tidak seperti yang sekarang. Selama 13 tahun saya dididik dan terlibat secara langsung dalam perjuangan agama, bangsa dan negara, tapi rupa-rupanya 'palsu' belaka?

"Saya memohon maaf pada Tun Mahathir. Saya tidak dapat menerima atau ikut beliau lagi sekarang. Saya kekal bersama perjuangan yang beliau ajar saya dulu. Perjuangan agama, bangsa dan negara yang jitu dan takkan goyah ke akhir hayat.

"Tak mengapalah, saya doakan beliau kembali ke jalan yang beliau perjuangkan suatu ketika dulu sebelum terlambat, inshaAllah," ujar Syed Hafiz mengakhiri wawancara beliau. -Kedahnews.com