Enggan Sertai Bersih 5, Husam Tempelak PAS


Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa membidas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, mengatakan bahawa bapa kepada Ketua Pemuda PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru ahli PAS supaya menyertai himpunan Bersih.

Tempelak Husam, bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS itu semasa hayat beliau "mewajibkan" penyertaan ahli parti berkenaan bersama di jalan raya menyertai himpunan "baju kuning" tersebut.

"Saya nak ulang sekali lagi bagi yang was-was sampai BERSIH pun dia tak boleh hadir, minta maaf saya tak nak apologatik.

"Tok Guru Nik Aziz kata wajib hadir BERSIH masa dia hidup, ada orang kata dia lebih rapat dengan Tok Guru daripada Husam tapi dia lupa apa yang Tok Guru pesan," kata Husam, dipetik dari portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com

Difahamkan bahawa Husam yang kini bersama parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan setahun PAN Selangor di Dewan Alamanda, Shah Alam.

PAS sebelum ini menegaskan pihaknya tidak akan menyertai himpunan Bersih 5 yang dianjurkan oleh NGO Bersih yang diketuai aktivitis pro-pembangkang, Maria Chin Abdullah.

Setiausaha PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya menjelaskan PAS menolak untuk menyertai himpunan tersebut ekoran matlamat himpunan itu yang disifatkan tidak selari dengan dasar parti Islam berkenaan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin dalam kenyataannya baru-baru ini mengesahkan kenyataan Takiyuddin dengan menjelaskan bahawa tidak ada sebarang keperluan bagi partinya menyertai Bersih ekoran suasana politik yang telah berubah.

Jelas beliau, PAS kini mengamalkan politik matang dan sejahtera, manakala matlamat dan muamalah yang dianjurkan himpunan Bersih 5 itu tidak menepati pendirian PAS. -Kedahnews.com