Eskalator Pusat Membeli Belah Di Pandan Indah "Meletup"


AMPANG – Pengunjung pusat beli belah Pandan Kapital di Pandan Indah berdepan detik cemas apabila mendengar bunyi kuat seperti meletup, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tangga eskalator yang terletak di tingkat satu tiba-tiba ‘meletup’ hingga menyebabkan anak tangga eskalator tercabut.

Difahamkan, keadaan anak tangga eskalator itu tertanggal dari kedudukan asalnya dan tidak berfungsi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dilaporkan.

Gambar kejadian berkenaan viral di laman sosial dan ada netizen mendakwa melihat seorang lelaki berusia 40-an sempat menyelamatkan diri sejurus selepas eskalator itu ‘meletop’.

Ada netizen yang mendakwa, pusat membeli belah tersebut perlu diselenggara kerana sudah lama beroperasi dan sudah uzur.

“Menyeramkan kalau naik, berserah jer, dia punya bunyi longgar,” tulis Reen Dzulkifly dalam Facebook.


Seorang netizen yang juga saksi kejadian menjelaskan, ketika kejadian tiada pengunjung yang menaiki eskalator itu dan ianya terjadi di depan matanya.

“Depan mata je tadi.  Nasib tak terlintas nak naik atas tadi dan nasib baik tiada customer yang naik escalator masa benda ni jadi,” tulis Cik Noor.

Tangga eskalator berkenaan sudah diperbaiki oleh pihak pengurusan pusat membeli belah tersebut. –Kedahnews.com