Final Piala Malaysia: Kaunter Mula Dibuka 10 Pagi, 26 Oktober Di Stadium Darul Aman


ALOR SETAR - Di sebalik kehangatan perlawanan Final TM Piala Malaysia 2016 kali ini, difahamkan ramai peminat skuad Helang Merah tercari-cari maklumat tentang penjualan tiket perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor itu.

Berita baik, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memaklumkan bahawa tiket bagi aksi perlawanan akhir di antara skuad Helang Merah yang berdepan dengan skuad Selangor, The Red Giants itu, akan mula dijual di kaunter tiket Stadium Darul Aman bermula jam 10 pagi pada Rabu, 26 Oktober ini.

KFA dalam satu kenyataan media menjelaskan sebanyak 18,800 keping tiket bakal dijual di kaunter-kaunter tiket stadium dengan harga RM50 bagi seorang dewasa, manakala harga tiket bagi kanak-kanak pula hanyalah RM5 seorang.

"Tiket berharga RM50 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) mula dijual pada 26 Okt 2016 (Rabu) 10:00 pagi di Stadium Darulaman," jelas kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tiket Dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar.

Walau bagaimanapun jelasnya, pihak KFA terpaksa mengawal penjualan tiket tersebut dan menegaskan bahawa hanya 3 keping tiket sahaja diperuntukkan untuk seorang pembeli.

Mungkin memahami "perebutan" yang bakal berlaku dan mengelak pertembungan di antara lelaki dan wanita, KFA telah membuka kaunter khas bagi pembeli wanita di kaunter A3 yang terletak di stadium tersebut.

Bagi mengelak salah faham berhubung bilangan tiket yang diperuntukkan di kaunter-kaunter stadium, Shaharol Niza menjelaskan bahawa baki tiket-tiket perlawanan akhir itu diperuntukkan bagi kuota tempahan bas, kuota pasukan, Badan Gabungan KFA, penaja dan Ahli Eksekutif KFA.

"Baki tiket adalah untuk kuota tempahan bas, kuota pasukan, Badan Gabungan KFA, penaja dan Ahli Eksekutif KFA," katanya. -Kedahnews.com