Final Piala Malaysia: Kedah Cuti Jika Helang Merah Juara?

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berteka-teki tentang kebarangkalian memberikan cuti umum kepada seluruh negeri Kedah sekiranya skuad Helang Merah berjaya menjuarai TM Piala Malaysia 2016 pada malam 30 Oktober nanti.

Ahmad Bashah berkata, semua ganjaran yang akan diberikan Kerajaan Negeri kepada skuad utama bola sepak Kedah akan diumum sehari sebelum perlawanan akhir berlangsung, manakala "ganjaran" untuk para penyokong Hijau Kuning turut akan dimaklumkan nanti.

"Ganjaran untuk final ni, sama ada kalah atau menang, kita akan umum. Kita akan maklumkan pada pemain-pemain sehari sebelum perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 30 Oktober nanti.

"Saya rasa lebih baik saya umum ketika semua pemain bola sepak Kedah ada bersama nanti.

"Bukan hanya pemain, tapi untuk penyokong-penyokong Kedah pun mungkin akan kita bagi juga sesuatu, yang itu kita akan umum kemudian. Dalam bentuk apa kita tak tahulah, dalam bentul duit ke atau cuti ke..." katanya sambil tersenyum penuh makna.

Ahmad Bashah berkata demikian sejurus selesai mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini, yang antaranya membincangkan tentang imbuhan yang bakal diberikan kepada skuad Helang Merah yang berjaya melayakkan diri ke final piala berprestij itu.

Beliau turut menjelaskan bahawa bentuk-bentuk ganjaran yang dibincangkan untuk para pemain bola sepak Kedah termasuk berupa ganjaran wang tunai, lawatan ke luar negara sambil mengadakan perlawanan persahabatan dan sebagainya.

"Walaupun semangat pemain-pemain sekarang ini ditahap begitu menyakinkan, kita akan bawa balik piala (Piala Malaysia) ke Kedah," kata beliau.

Skuad Helang Merah bakal berentap dengan pasukan Selangor, The Red Giants, pada malam Ahad ini, 30 Oktober di Stadium Shah Alam bagi merebut gelaran juara TM Piala Malaysia setelah berjaya menghuni tangga ketiga Liga Super musim ini.

Difahamkan sebanyak 9,000 tiket habis terjual dalam tempoh satu jam selepas kaunter-kaunter tiket mula dibuka kira-kira jam 10 pagi tadi di Stadium Darul Aman. -Kedahnews.com