Final Piala Malaysia: Tempahan Tiket Berkumpulan Dibuka Mula Esok


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) bakal membuka jualan tiket bagi tempahan berkumpulan selama tiga hari, bermula esok, 20 Oktober (Khamis), 23 Oktober (Ahad) dan 24 Oktober (Isnin) bagi menyaksikan perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket Dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar dalam satu kenyataan media menjelaskan bahawa pengumuman bagi permohonan tempahan tiket berkumpulan itu akan diumumkan pada Selasa, 25 Oktober, selain akan dihubungi pihaknya.

"Tempahan berkumpulan dibuka 3 hari bermula pada hari Khamis, Ahad dan Isnin (20, 23 dan 24 Okt 2016) dan pengumuman bagi permohonan berjaya adalah pada hari Selasa (25 Okt 2016) dan akan dihubungi oleh KFA," jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Shaharol Niza menjelaskan bahawa sebanyak 4,400 kepig tiket ditawarkan bagi tempahan berkumpulan itu dibuka membabitkan penggunaan bas sahaja yang dianggarkan bakal melibatkan sebanyak 100 buah bas.


Jelasnya, pihak yang berminat untuk membuat tempahan perlu mengemukakan surat permohonan dan diwajib menyertakan permit bas bagi setiap bas yang dipohon.

Tempahan bagi setiap bas pula dihadkan kepada maksimum 44 keping tiket sahaja dan penebusan tiket bagi permohonan yang berjaya akan diserahkan pada jam 2 petang hari Rabu, 26 Oktober, bertempat di Bilik Kenanga, Stadium Darul Aman, di sini.

Selain itu, bagi mengelak manipulasi berlaku di kalangan "ulat-ulat tiket" seperti yang pernah terjadi sebelum ini, pihaknya menjelaskan bahawa KFA akan menapis setiap permohonan yang dibuat.

Justeru itu, dia memaklumkan bahawa pihaknya tidak menjamin bagi setiap permohonan yang dibuat akan mendapat tiket yang diperuntukkan dan sebarang tempahan secara individu tidak akan diterima.

"Setiap permohonan akan ditapis terlebih dahulu utk mengelakkan manipulasi oleh ulat tiket. Tiada jaminan setiap permohonan akan mendapat tiket dan tempahan individu TIDAK DITERIMA.

"Pihak KFA tidak bertanggungjawab sekiranya mana-mana individu membuat tempahan melalui penganjur rombongan tetapi tidak mendapat tiket," katanya. -Kedahnews.com