ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dituntut membuat penjelasan sama ada aplikasi Flexi Parking yang diperkenalkan bermula April tahun lalu masih boleh digunakan seperti biasa atau pengguna perlu menggunakan semula sistem berkupon.
Ia berikutan timbul dakwaan mengatakan syarikat yang menguruskan aplikasi tersebut telah ditamatkan perjanjiannya pada September tahun lalu.
Ramai pengguna aplikasi itu turut mendakwa seolah ditipu apabila hampir disaman pihak MBAS ketika meletakkan kenderaan di sekitar Alor Setar kerana tidak mempamerkan kupon parkir pada kenderaan.
Pengguna, Liew Kong Choong, 42, berkata, penggunaan aplikasi Flexi Parking lebih memudahkan pengguna membuat bayaran parkir dan menambah waktu sewaan parkir hanya menggunakan telefon pintar.
“Pada minggu lepas saya parkir kereta di Jalan Pintu Sepuluh, berdekatan sebuah hospital swasta. Saya dah bayar sewa parkir guna aplikasi Flexi Parking seperti biasa.
“Tetapi bila saya datang semula ke kereta, ada anggota MBAS hampir menyaman saya kerana tidak pamer kupon. Saya jelaskan dah buat bayaran melalui Flexi Parking, tapi mereka dakwa sistem itu tak digunakan lagi dan minta saya beli kupon parkir,” katanya.
Menurutnya, insiden itu amat mengejutkan kerana pengguna tidak pernah dimaklumkan mengenai penamatan sistem Flexi Parking dan perlu menggunakan sistem berkupon seperti asal.
Sementara itu, Adun Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok memaklumkan menerima beberapa aduan sama daripada pengguna di sekitar Alor Setar sejak minggu lalu.
“Saya dimaklumkan syarikat yang menguruskan Flexi Parking ini telah ditamatkan perjanjiannya dengan MBAS pada September 2015 disebabkan beberapa masalah dan dibawa ke mahkamah untuk tindakan undang-undang.
“Kita tak nak pertikai apa keputusan mahkamah, tapi MBAS dan pihak syarikat berkenaan hendaklah memberi penjelasan kepada orang ramai yang telah memuat naik aplikasi itu ditelefon pintar dan ada yang masih tambah nilai untuk bayar sewa parkir,” katanya.
Setiausaha DAP Kedah itu berkata, menolak kredit pengguna walaupun sistem itu dianggap tidak sah penggunaannya adalah satu perkara yang tidak adil kepada pengguna.
“Saya tuntut MBAS dan pihak pengurusan syarikat berkenaan supaya buat pengumuman mengenai status aplikasi itu dan pulangkan semula duit yang telah dicaj terhadap setiap pengguna pada sebelum ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa supaya aplikasi itu dihentikan serta merta bagi mengelak lebih ramai yang menggunakannya sehingga satu penjelasan mengenai status itu dibuat pihak berkuasa tempatan.
Pada Mac tahun lalu, pihak yang menguruskan Flexi Parking mempelawa orang ramai memuat naik aplikasi itu yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia bermula April 2015 secara percuma.
Melalui aplikasi itu, pengguna boleh menambah waktu penyewaan parkir dengan hanya menggunakan telefon pintar masing-masing.
Sumber: Sinar Harian