"Geng Mat Mi" Samun Di Marang, Kena Tangkap Di Selangor

Gambar Hiasan
MARANG - Dua lelaki dikenali sebagai Geng Mat Mi yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan mencuri dua kereta membabitkan kerugian RM230,000 di Taman Aquarius di sini, 15 Oktober lalu, berjaya ditahan polis Selangor di kawasan kios Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Selasa lalu.

Dua suspek berusia 24 dan 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya ketika menaiki kereta curi jenis Toyota Hilux kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, dua suspek itu memecah masuk sebuah rumah di Taman Aquarius di sini, pada 5.46 pagi, 15 Oktober lalu, dan melarikan pelbagai barangan berharga serta dua kereta iaitu Mercedes Benz dan Toyota Hilux membabitkan kerugian RM230,000.

Katanya, kereta Mercedes Benz itu berjaya dikesan berhampiran Plaza Tol Kuantan kira-kira jam 1 petang pada hari sama dan dua suspek meninggalkan kenderaan itu di satu kawasan pembinaan di Gambang selepas dikejar polis peronda.

"Namun, polis Selangor berjaya menahan dua suspek itu di kawasan kios MPSJ kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu, bersama Toyota Hilux dan beberapa barangan berharga lain termasuk wang tunai RM4,990, telefon bimbit dan komputer riba milik seorang kontraktor berusia 48 tahun.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan dua suspek itu mempunyai kaitan dengan sindiket curi kereta mewah.

"Dua suspek yang positif dadah jenis amphetamine itu kini direman sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah dan Seksyen 379AKK kerana curi kenderaan bermotor," katanya.

Sumber: myMetro