"Geng Rakus", "Geng Arie" Tumpas Di Tangan Polis Kedah

Rozi (dua, kanan) dalam sidang media di IPD Kota Setar, di sini.
ALOR SETAR - Tindakan pantas polis berjaya memberkas 'Geng Rakus' yang aktif dalam kes samun di kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah Kota Setar melalui serbuan di Jalan Langgar, di sini, pada 29 September lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, pihak polis dapat menahan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan samun itu hasil risikan dan berpandukan rakaman CCTV kedai disamun.

"Berdasarkan siasatan, keempat suspek berusia antara 26 hingga 43 tahun akan menakutkan mangsa menggunakan senjata tajam, seperti pisau, sebelum menyamun kedai sejak awal tahun ini.

"Selepas itu, mereka akan mengambil duit mahupun barang berpotensi dijual murah, misalnya rokok," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek dipercayai giat melakukan aktiviti jenayah di waktu malam bermula 7 malam hingga 7 pagi menggunakan pelbagai taktik, termasuklah menyamar jemaah masjid.

Menurutnya, siasatan mendapati mereka seolah-olah tidak kisah wajah dirakamkan apabila tidak mengendahkan CCTV diletakkan di premis kedai serbaneka terlibat.

Kata Rozi, dia percaya penahanan empat lelaki berkenaan boleh menyelesaikan 11 kes membabitkan samun bersenjata dilaporkan di Kota Setar buat masa ini.

Katanya, pihak mereka menganggarkan jumlah kerugian dalam kes samun bersenjata terbabit, mencecah antara RM1,000 hingga RM1,500 untuk setiap satu kes.

Menurut beliau, keempat suspek yang aktif melakukan kegiatan samun turut disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sekitar Kubang Pasu.

Rozi berkata, kesemua mereka didapati positif dadah melalui pemeriksaan air kencing dilakukan, malah masing-masing memiliki rekod jenayah lampau antara lima hingga 11 kes.

Kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Sementara itu, kata Rozi, seorang lelaki berusia 30 tahun dikenali sebagai Geng Arie disyaki terlibat kes pecah kereta ditahan dalam pemeriksaan pada 3 Oktober lepas di sebuah motel di daerah ini.

"Suspek berasal dari Kuala Kedah akan berhenti sebelah kenderaan mangsa, sebelum memecahkan cermin kereta dan melarikan barang berharga tanpa disedari sesiapa," katanya.

Katanya, suspek merupakan penganggur mensasarkan kenderaan diletakkan di kawasan awam, seperti tempat letak kenderaan masjid, pasar mahupun stadium.

Rozi berkata, suspek yang positif dadah jenis syabu disyaki terbabit dalam 10 kes pecah kereta membabitkan kerugian kira-kira RM70,000 sejak Ogos lepas.

Menurutnya, suspek ditahan reman sehingga 13 Oktober, manakala kes berkenaan akan disiasat  mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian