Graduan Maut Kemalangan Hanya Beberapa Jam Sebelum Konvokesyen


Hanya beberapa jam sahaja lagi sebelum dianugerahkan Diploma Alam Sekitar dari Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), seorang graduan, Nurul Azmina Alias; 21, telah disahkan terkorban dalam nahas jalan raya yang berlaku di Sabak Bernam, pagi tadi.

Memetik Harian Metro, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal kenderaan yang dipandu sebelum terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter.

Mangsa yang berasal dari Cheras memandu sendirian kereta Proton Perdana milik bapanya untuk menghadiri majlis konvokesyen semalam.

Menurut Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, pihaknya menerima panggilan jam 8.14 pagi dan lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam bergegas ke lokasi.

“Kemalangan membabitkan kereta yang terbabas sendiri dan ketika anggota tiba di lokasi mangsa sudah dikeluarkan orang awam.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Sementara itu, akaun Twitter Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi, PSIS merakamkan ucapan takziah dan menitipkan Al-Fatihah buat mangsa. – Kedahnews.com