SEORANG ibu dan anaknya menempuh detik cemas apabila diserang oleh seorang lelaki di dalam sebuah lif di Langfang, wilayah Hebei, China.
Aksi serangan ganas itu hanya kerana satu teguran terhadap suspek yang merokok kebetulan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam lif berkenaan.
Suspek kejadian adalah seorang lelaki berpakaian kemas lengkap dengan kot dirakam melepaskan tumbukan bertubi-tubi ke arah mangsa; seorang wanita di bahagian kepala.
Menerusi video berdurasi dua minit lebih itu, mangsa dilihat cuba pertahankan diri dari serangan suspek dengan menghentakkan tas tangan namun tidak berjaya apabila suspek dengan agresifnya membalas balik serangan itu.
Difahamkan, mangsa menjadi serangan baran suspek tidak dikenalinya itu apabila dia bertindak menegurnya kerana cuba menghisap rokok di dalam lif tersebut.
Mangsa dilihat cuba merakam wajah suspek dengan menggunakan telefon bimbitnya namun suspek terlebih dahulu melangkah keluar dari lif berkenaan setelah pintu terbuka.
Kelibat suspek meninggalkan bangunan tempat kejadian turut dirakam oleh CCTV yang berada di kawasan sekitar.
Sejurus insiden itu, mangsa terus membuat laporan di balai polis berhampiran dan siasatan untuk mengesan suspek segera dijalankan oleh pihak polis. – Kedahnews.com