Harap TG Hasyim Jasin Kesan Perosak Dalam, Luar PAS


ALOR SETAR – Pelantikan Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu diharapkan dapat menghidu anasir-anasir perosak yang terdapat di dalam dan luar parti Islam itu.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, perkara itu supaya Pas tidak diheret ke arah kerjasama politik yang sia-sia dan merendahkan martabat Pas dalam pembangkang seperti yang dilalui pada sebelum ini.

“Pelantikan Hashim seolah penerusan fasa kepimpinan orang Perlis dalam Pas. Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dari pantai timur dan Mursyidul pula dari pantai barat dan utara semenanjung, ia tidak menjadikan seolah pemimpin Pas dari Kelantan dan Terengganu saja memonopoli kepimpinan utama Pas.

“Walaupun beliau kurang popular di kalangan orang ramai, tetapi gaya dan sikap yang sederhana, berhemah dan lebih mengaplikasikan ilmu bersifat ilmiah itu yang perlu diutamakan, dan mungkin inilah sebabnya Dewan Ulama Pas memilih beliau,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurutnya, Pas memerlukan seorang Mursyidul Am yang mampu menjadi pembina kepada parti Islam itu dan bukan perosak.

“ Untuk menjalinkan ukhuwah dan perpaduan ummah masa kini, beliau perlu teruskan dakwah dan gaya sederhana yang diaplikasikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang juga sanggup menjadi Ketua Biro Dakwah Majlis Perundingan Islam yang ditubuhkan kerajaan demi kebajikan dan dakwah Islamiah.

“Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu haruslah komited dengan agenda perdamaian dan silaturahim antara pemimpin Umno dan Pas, berbanding bekerjasama dengan parti lain yang boleh merosakkan perjuangan Islam,” katanya.

Penganalisis politik itu berkata, Hashim juga harus bersifat kontemporari yakni peka isu dan ancaman baru.

“Dulu era Datuk Mujahid Yusuf Rawa dan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat suasana dan isu berbeza, kini rakan rapat pas dalam pembangkang seolah sudah mengecewakan dan merendahkan maruah Pas. Maka Hashim selepas dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu perlu melihat hal ini sebagai keutamaan.

“Biarlah Pas bersama Gagasan Sejahtera atau boleh juga bekerjasama dengan Umno yang lebih membina kebaikan, berbanding bersama Pakatan Harapan yang sudah kelihatan tidak mesra kepimpinan Pas,” katanya.

Ujarnya, Pas seperti belum lagi terselamat sepenuhnya dari cubaan berterusan pencerobohan ideologi parti-parti pembangkang yang tertarik dalam menguasai parti Islam itu.

“Inilah cabaran yang beliau perlu amati dan fahami dalam tugasannya sebagai Mursyidul Am dalam sebuah parti yang berpotensi di takluk urus tadbirnya oleh pihak asing.

“Perjuangan Hashim adalah bagi mengekalkan kemerdekaan dan kemuliaan Pas supaya kekal dengan perjuangan untuk Islam dan bukan berjuang untuk parti serta merebut kekuasaan semata-mata,” katanya.

Sumber: Sinar Harian