Harussani Sokong Pindaan RUU Akta 355


IPOH - Setiap ahli parlimen beragama Islam daripada Pas, Umno dan PKR digesa memberi sokongan penuh kepada pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat.

Gesaan itu dibuat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mahu melihat usaha memperkasakan institusi mahkamah syariah berjaya dilaksanakan setelah berpuluh tahun diperjuangkan.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan ada sesetengah wakil rakyat daripada Umno dan PKR enggan memberi sokongan terhadap usaha yang dibawa Pas itu.

“Itu salah, kerana sebagai orang Islam, mereka mesti menyokong sebarang usaha untuk menaik taraf mahkamah syariah dan saya sendiri mengharapkan semua ahli parlimen Melayu dan beragama Islam bersatu menyokong perkara ini.

“Jika semua memberi sokongan, Insya-ALLAH ia akan dapat diluluskan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Harussani berkata, usaha untuk meningkatkan status mahkamah syariah sudah lama dibincangkan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan barisan hakim-hakim sejak 1970-an lagi yang mana pada ketika itu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 diguna pakai.

Katanya, perkara itu kemudiannya membawa kepada penubuhan jawatankuasa yang bertindak merangka undang-undang dan akhirnya mendapat persetujuan peguam negara.

“Setelah berpuluh tahun, perkara ini dibawa ke Parlimen sekarang, saya amat bersetuju dengan rang undang-undang ini dan mengharapkan sidang Parlimen meluluskannya,” katanya.

Beliau berkata, pendapat mengatakan pelaksanaan undang-undang berkenaan akan mengambil alih kuasa raja-raja sama sekali tidak benar.

Menurutnya, setiap hakim dilantik atas persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan itu menunjukkan raja-raja memberi kuasa terhadap bidang kuasa hakim syariah.

“Apabila berlaku (kes bicara) dalam negeri pula, hakim yang membicarakan orang bicara itu dilantik pula oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan negeri-negeri berkenaan. Jadi tak ada isu menghilangkan kuasa raja-raja dan sebagainya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian