Hashim Jasin Dilantik Mursyidul Am PAS Yang Baru

SHAH ALAM - Majlis Syura Ulama menerusi mesyuarat yang diadakan di Pejabat Agung Pas sebulat suara memilih dan melantik Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, menerusi mesyuarat tersebut, Datuk Ahmad Yakob dipersetujui sebulat suara kekal sebagai Timbalan Mursyidul Am Pas.

Menurutnya, faktor yang Ahmad dikekalkan sebagai Timbalan Murysidul Am, walaupun beliau layak untuk memegang jawatan itu disebabkan beliau sentiasa sibuk dengan tugas-tugasnya yang lain sebagai Menteri Besar Kelantan.

Katanya, menerusi mesyuarat tersebut, Ahmad sendiri merayu kepada Majlis Syura supaya memilih dan melantik orang lain yang berkelayakan sebagai Mursyidul Am Pas.

"Kita pilih dan lantik Tuan Guru Hashim Jasin kerana dia yang paling tua dalam Majlis Syura. Selain itu, beliau mempunyai ilmu yang mantap, di samping pandangan politiknya yang jauh dan mantap," katanya dipetik Harakahdaily.

Allahyarham Haron Din kembali ke rahmatullah pada 16 September lalu, jam 10.10 pagi waktu Malaysia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Sumber: Sinar Harian