SLOGAN telah menjadi instrumen penting bagi mencapai hajat diingini. Malangnya slogan dalam bentuk umum tanpa pemahaman rapi dan berlandaskan disiplin ilmu akan menjurus kepada pemahaman di luar konteks yang boleh menghancurkan diri sendiri, bangsa dan agama.
Saya katakan demikian kerana sudah ada golongan tertentu ‘mempromosikan’ slogan ‘kesederhanaan’ dalam kempen-kempen perpaduan, kononnya sebagai ‘tiket’ dinding pemisah antara kaum.
Bunyinya cukup menarik dan pastinya memberi kita satu harapan bahawa perpaduan sejati itu akan muncul. Namun, slogan tanpa intipati jelas atau menyimpang daripada pemahaman akidah boleh menghancurkan nilai-nilai agama, justeru adakah ia satu perpaduan yang berbaloi?
Saya bukanlah golongan bijak agama, tetapi tidaklah terlalu naif sehingga merelakan agama Islam dihina secara halus mahupun terang-terangan. Dalam penulisan sebuah akhbar tempatan bukan Melayu menyatakan secara tersirat bahawa amalan dalam agama Islam menjadi penghalang besar kepada usaha-usaha membentuk perpaduan kaum di negara ini.
Sebagai contoh, gelaran ‘taliban kecil’ diberikan kepada Muslim yang taat. Pernah mereka mempertikaikan keengganan wanita Islam bersalam ketika menerima ijazah, dan tindakan ulama mempertahankan amalan dianjurkan Islam itu sebagai budaya ekstremisme.
Pada hemat saya, golongan terbabit cuba mendefinisikan perpaduan mengikut acuan sendiri yang mana agama Islam tidak wajar dianggap satu praktis yang serius. Mereka cenderung ‘berkiblatkan’ budaya barat dan menganggap pergaulan bebas membentuk asas perpaduan kukuh dan baik untuk proses kematangan masyarakat!
Dalam penulisan akhbar berkenaan, Islam digambarkan sebagai agama ganas serta mundur, dan propaganda itu menjadikan fahaman liberal adalah jawapan kepada penyelesaian untuk menolak amalan golongan Muslim sejati. Mereka mengangkat golongan Islam liberal sebagai tokoh agama sejati, dan membenarkan penulisan golongan itu dalam akhbar mereka.
Perkembangan ini adalah bukti sikap mereka terhadap bangsa Melayu Islam. Jika slogan ‘kesederhanaan’ ini membenarkan mereka menggunakan tokoh-tokoh liberal untuk mengetengahkan idealisme mereka secara intelektual, maka kita sebagai Muslim ada kewajipan untuk mempertahankan Islam pada landasan sepatutnya.
Sumber: Utusan