Hendak Keluar Parti, Tapi Bimbang Langgar Sumpah Bai'ah?

ALOR SETAR - Kelibat Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang dilihat amat mesra dengan DAP, Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sebaliknya sering mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan Presiden PAS menimbulkan tanda tanya ramai pihak.

Ramai para penyokong PAS yang menyelar dan memandang serong pada Ahli Parlimen PAS itu ekoran hubunga beliau dengan kepimpinan PAS dan tidak lagi mengikuti program-program PAS, sebaliknya begitu aktif membantu aktiviti parti lain.

Menurut sumber PPBM yang ditemubual, kebimbangan tersebut turut dirasai oleh PAS sendiri dan parti itu difahamkan telah menghantar wakilnya untuk bertemu Mahfuz bagi mengajaknya "kembali" kepada parti.

"Dia jawab, bila masa pula saya keluar dari PAS?," kata sumber itu mengenai jawapan Mahfuz kepada wakil PAS tersebut.

Sumber itu memberi pandangan bahawa PAS mungkin tidak akan sesekali memecat keahlian Mahfuz seperti tindakan yang dilakukan terhadap Adun Salor, Datuk Husam Musa, yang mencetus kontroversi di Kelantan.

"Saya tak fikir PAS berani pecat Mahfuz," katanya.

Sebaliknya, sumber itu turut mendakwa bahawa Mahfuz tidak akan keluar dari PAS ekoran terikat dengan sumpah bai'ah yang diungkap ketika dipilih sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Kedudukan Mahfuz di dalam PAS masih kekal "misteri" di kalangan pemerhati politik di negeri Kedah khususnya apabila beliau dilihat sangat mesra dengan Pakatan Harapan, sebaliknya bagaikan tidak sehaluan lagi dengan partinya sendiri.

Bagaimanapun, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpandangan bahawa Mahfuz kini seolah-olah sedang mencari 'parti naungan baru' ekoran pendiriannya yang tidak sependapat dengan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Menyifatkan Mahfuz sedang mengamalkan 'politik lalang', beliau menjangkakan Mahfuz mungkin tidak akan disenarai semula sebagai calon PAS pada PRU ke-14 nanti, sebaliknya Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkemungkinan akan bertanding atas tiket parti lain.

"Dia dah macam lalang dah sekarang, cuba dapatkan ehsan dari PPBM, PKR atau PAN. Mana tahu jika PAS tak calonkan dia nanti, maka dia boleh bertanding atas tiket pembangkang lain tu," katanya dalam satu kenyataan pada Kedahnews.com.

Bekas Ketua Penerangan PAS itu hilang semua jawatan pada pemilihan PAS di muktamar parti itu yang lalu di mana menyaksikan kumpulan rakan karibnya, Mat Sabu tewas teruk dalam pemilihan pucuk pimpinan parti berkenaan.

Mat Sabu kemudian memutuskan untuk keluar dari PAS bersama rakan-rakannya dan membentuk parti baru, PAN, namun gerakan bekas Timbalan Presiden PAS itu tidak disertai oleh Mahfuz yang masih kekal bersama PAS, namun mesra Pakatan Harapan hingga kini. -Kedahnews.com