HSA Terbakar: Sultan Johor Titah Gunakan Wad Diraja


JOHOR BAHRU – Susulan kejadian kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), pagi tadi, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah supaya Wad Diraja di hospital tersebut dibuka sementara bagi menempatkan pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU).

Baginda memberi keizinan tersebut selepas melawat lokasi kebakaran pagi tadi.

“Kita ada satu royal ward yang tidak pakai, pakai takpa saya kasi (bagi). Buka untuk dijadikan sementara tempatkan pesakit ICU,” titah baginda semasa melawat lokasi kebakaran di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Wad Diraja yang lama di hospital berkenaan akan dibuka sementara untuk dijadikan wad ICU dan menempatkan pesakit.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, wad ICU di tingkat dua bahagian selatan bangunan hospital terbakar dan menyebabkan enam pesakit maut dan seorang cedera akibat melecur 80 peratus.

Susulan kejadian itu, pesakit ICU dipindahkan ke hospital berdekatan dan wad yang selamat di HSA. –Kedahnews.com