Husni Pernah Jawab Soalan Itu Ketika Jadi Menteri


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengemukakan soalan di Dewan Rakyat mengapa 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ditubuhkan sedangkan beliau pernah menjawab soalan itu sewaktu menjadi Menteri Kewangan II.

Justeru, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berharap supaya Ahmad Husni membangkitkan soalan itu di Parlimen kali ini dengan niat yang betul iaitu selaku Ahli Parlimen menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat di kawasannya.

“Sebenarnya, sebahagian persoalan yang beliau bangkitkan itu telah pernah dijawab olehnya sendiri sewaktu menjadi Menteri Kewangan II.

“Antara kenyataan beliau masa itu “1MDB ditubuhkan dengan matlamat jelas iaitu melabur dan membangun projek dalam bentuk jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi dengan sasaran menjana kewangan dan kejayaan pada masa depan”

“Ahmad Husni menjawab soalan itu pada 20 Februari 2015 sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan II,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Annuar berkata, Ahmad Husni seterusnya bertanyakan soalan yang cuma bersifat kebimbangannya di atas andaian pihak-pihak tertentu dan mahu tahu apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan sekiranya ia menjadi kenyataan.

Katanya, beliau percaya kerajaan akan mengambil perhatian terhadap ucapan dan soalan Ahmad Husni tersebut kerana kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberi penjelasan kepada soalan yang dibangkitkan itu.

“Kita harus ambil daripada sudut positif setiap perkara yang diutarakan,” katanya.

Jelasnya, isu 1MDB memang sentiasa diberi perhatian serius oleh kerajaan dan pelbagai langkah untuk memperbaiki segala kelemahan sedang giat dilakukan oleh pelbagai pihak berwajib. –Kedahnews.com