Individu Rakam, Viral Campak Ular Bukan Suspek Polis


IPOH – Polis tidak pernah menganggap individu yang merakam dan menyebarkan viral insiden ular dicampak ke dalam kolam semasa perkhemahan unit beruniform Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kuala Kangsar sebagai suspek.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebaliknya berkata individu berkenaan sebelum ini dicari kerana dia merupakan saksi utama kejadian dan diperlukan untuk membantu siasatan.

“Kita telah kenal pasti individu berkenaan dan mereka telah memberi kerjasama yang sangat baik kepada polis.

“Kami cari dia kerana dia adalah saksi utama, dialah orang pertama yang lihat apa berlaku, siapa yang baling ular ke dalam kolam dan latihan yang budak kecil (murid) jalani,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan veteran dan bekas polis Orang Asli bersempena Ulang Tahun 69 Komando ke-47, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak terus mempertikaikan terutama menerusi media sosial tujuan polis mencari individu berkenaan sebelum ini.

Khalid berkata setakat ini polis telah merakam sebanyak 21 percakapan bagi membantu siasatan mengenai insiden tersebut.

“Jika ada kesalahan kita akan jalankan siasatan dan serahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya.

Awal minggu ini, rakaman video berdurasi lebih dua minit menjadi viral di media sosial dan mendapat kritikan netizen apabila beberapa murid di dalam kolam berselut menangis dan menjerit setelah jurulatih APM mencampakkan ular ke dalamnya. – BERNAMA