Gambar Hiasan |
Tidak salah memperoleh wang yang banyak, asalkan sumbernya adalah halal kerana ia dapat menjamin kehidupan bahagia dan selamat di dunia dan akhirat.
Hari ini, kita terbeban dengan kenaikan harga barang, cukai dan tol lebuh raya yang pasti menambahkan bebanan terpaksa ditanggung.
Kita juga terbeban dengan masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat yang semakin membimbangkan. Hal ini berpunca daripada wang, manusia sanggup melakukan apa cara untuk mencari kesenangan walaupun terpaksa melakukan kejahatan.
Kerana wang, berapa ramai manusia tergolong sebagai anak derhaka yang sanggup memutuskan hubungan silaturahim dengan ibu bapa. Ibu bapa tidak dipedulikan, kesihatan dan makan minum tidak diuruskan, mereka dibiarkan hidup kesepian tanpa kasih sayang, dianggap seperti orang gaji yang menjaga kepentingan anak dan menantu, malah ada yang ditinggalkan di rumah kebajikan orang tua.
Namun, apa yang paling menyedihkan, ada yang sanggup memukul, mencederakan dan membunuh ibu bapa semata-mata kerana wang apabila keinginan tidak dipenuhi.
Adakah ini balasannya terhadap ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang?
Kerana wang, ada dalam kalangan manusia semakin tamak. Perasaan belas kasihan, bertimbang rasa, bantu membantu dan membuat kebajikan sudah tidak wujud dalam diri mereka.
Hanya mengejar keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan kesusahan masyarakat sekeliling.
Kerana wang, ada manusia sanggup menjadi hamba wang dengan melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri, menculik, membunuh, pecah amanah, rasuah, penindasan, keganasan, ajaran sesat dan melakukan kezaliman-kezaliman lain. Sedangkan perbuatan tersebut dilarang oleh Allah SWT.
Tidak berasa takutkah bahawa perbuatan yang dilakukan ini pasti akan mendapat balasan sama ada di dunia atau akhirat?
Tidak takutkah kita apabila suatu masa nanti keturunan dan generasi kita juga melakukan perkara yang sama? Tidak takutkah apabila tiba masanya nanti kita dipanggil kembali kepada Allah SWT?
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 18:
“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi serta Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.”Kerana wang, ada manusia yang menjadi keras hati, kedekut dan bakhil. Mereka beranggapan, bahawa wang yang diperoleh adalah hasil usaha dan titik peluh sendiri dan tidak boleh dikongsikan dengan orang lain.
Mereka sanggup membiarkan saudara-saudara seagama berada dalam kesusahan dan kesukaran.
Tidak salah mencari wang yang banyak bagi meningkatkan taraf kehidupan ekonomi keluarga.
Malah Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha namun janganlah jadikan wang menguasai diri hingga mendatangkan permasalahan dan kemudaratan dalam kehidupan.
Disebabkan wang, pelbagai masalah berlaku. Terdapat dalam kalangan manusia menghadapi masalah rumah tangga. Ia berlaku disebabkan ibu bapa sibuk mencari nafkah dari pagi hingga ke larut malam sehingga mengabaikan keluarga. Anak-anak hidup tidak terurus dan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada ibu bapa.
PENGAJARAN
- Hendaklah mengukuhkan akidah, syariah dan akhlak Islam supaya kehidupan tidak dikuasai wang atau kebendaan.
- Hendaklah memastikan sumber kewangan yang diperoleh daripada sumber baik dan halal.
- Janganlah menjadi hamba wang sehingga lalai beribadat kepada Allah SWT.
- Hendaklah menjauhi segala bentuk penyelewengan, rasuah serta salah guna kuasa.
Apakah bekalan hendak dibawa untuk berhadapan Allah sedangkan kita bergelumang dengan dosa dilakukan sepanjang hidup? Oleh itu, tiada gunanya kita menyembunyikan diri daripada kejahatan dilakukan untuk memiliki hasil kekayaan, kemewahan dan kesenangan diperoleh daripada sumber haram, sedangkan gerak geri kita sentiasa diperhatikan-Nya.
Sumber: Utusan
Sumber: Utusan