LIMA pertanyaan Allah terhadap hamba-Nya berhubung nikmat yang diberikan iaitu tentang umur dihabiskan, bagaimana masa muda digunakan, dari mana harta diperoleh dan bagaimana dimanfaatkan, tentang ilmu serta bagaimana dia beramal dengan ilmu tersebut.
Itu intipati ceramah yang disampaikan oleh pendakwah bebas dari Indonesia, Anas Burhanuddin Musta’in Ahmad yang dimuat naik dalam media sosial berhubung keistimewaan masa muda.
Menurut penceramah terkenal dari Pondok Pesantren Madinatulqur’an Jonggol di Jawa Barat itu, umur atau usia muda setiap anak Adam mengikut fahaman sebahagian ulama adalah dari usia baligh sehingga umur 40 tahun.
Namun jelasnya, ada sebahagian ulama mentafsirkan sehingga berusia 30 tahun tetapi mencecah usia sehingga 40 tahun adalah lebih kuat serta didokong oleh beberapa dalil meskipun tidak secara tegas.
Beliau menyatakan, kenapa perlu Rasullullah SAW menegaskan secara khusus tentang usia muda, sedangkan apa yang akan disoal adalah berhubung usia yang digunakan dan dihabiskan.
“Dalam bahasa Arab, menyebutkan sesuatu secara khusus setelah penyebutan secara umum pada awal hadis merupakan suatu yang penting. Sesuatu perkara tidak disebutkan begitu sahaja (diperjelaskan) tetapi kerana ada maksudnya atau hikmah di sebaliknya.
“Kalau tiada hikmah atau faedahnya, maka jadilah perkara itu sia-sia. Biarpun kata-kata Nabi Muhammad itu pendek, namun ia penuh sarat dengan makna, kandungannya mendalam dan luas. Itu sifat sabda-sabda nabi.
“Jika disebutkan usia muda selepas pengucapan tentang umur secara umum, maka ada keistimewaan usia muda. Apa keistimewaan masa muda?,” soalnya.
Kata beliau, usia muda ialah masa terbaik yang dialami oleh seseorang individu, masa paling produktif yang sangat diperlukan dalam membangunkan bangsa dan peradaban masing-masing.
Tambahnya, puncak kemampuan dan kekuatan fizikal manusia itu terjadi pada usia muda. Allah juga menjadikan fizikal ahli syurga adalah fizikal anak-anak muda, merasai kenikmatan syurga menerusi fizikal paling kuat iaitu pada usia muda.
Menurutnya, Nabi Muhammad pernah berjenaka dengan seorang nenek tentang tidak ada orang-orang tua di dalam syurga. Namun baginda tidak pernah berbohong dalam jenaka beliau, sebaliknya jenaka baginda tetapi tetap jujur dan mengatakan yang benar.
Ini kerana jelasnya, tidak akan masuk syurga anak Adam dalam keadaan fizikalnya yang sudah tua bagi merasai nikmat Allah. Semua yang masuk syurga Allah adalah mereka yang berada dalam keadaan fizikal muda.
IMPIAN SEMUA MANUSIA
Masa muda sangat diimpikan oleh semua orang. Anak-anak kecil ingin segera dewasa, malah mereka yang dewasa juga tidak mahu segera menjadi tua. Tempoh masa muda adalah fasa usia terpanjang dalam kehidupan manusia.
“Pada usia muda adalah masa terbaik untuk mudah menerima kebenaran dan ia antara potensi masa muda. Orang tua sudah terlalu lama tenggelam dalam kebatilan menjadikan mereka sukar untuk diubah. Malah kebanyakan ulama berjaya meraih ilmu sejak daripada usia muda,” katanya.
Namun begitu menurutnya, terdapat juga potensi negatif ketika usia muda iaitu ketika mana syahwat seorang insan mencapai pada kemuncaknya. Puncak syahwat, godaan atau hawa nafsu anak Adam itu akan berlaku pada saat usia muda.
Ibnu Rejab Al-Hambali berkata: “Masa muda adalah sepotong kegilaan”. Pada masa ini, seseorang itu kuat terdorong untuk memenuhi syahwat mudanya. Maka siapa yang terselamat pada usia ini, sungguh benar-benar dia diselamatkan.
Jelas Anas Burhanuddin, usia muda adalah masa syahwat sentiasa mahu menang dan berada begitu kuat sekali. Manusia begitu ingin memenuhi hawa nafsunya. Usia muda mempunyai potensi positif yang banyak tetapi pada saat yang sama juga boleh didorong oleh potensi negatif.
“Mereka yang selamat adalah anak-anak muda yang istiqamah dan konsisten dalam mentaati Allah SWT. Mereka itulah orang-orang yang istimewa.
“Nabi memuji golongan pemuda seperti ini kerana mereka berjaya mengalahkan godaan hawa nafsu yang sedang memuncak. Malah mereka layak untuk mendapat pengiktirafan daripada Allah SWT,” katanya.
Katanya, orang tua rajin ke masjid dan beribadah kepada Allah, ia satu yang wajar dan satu kebiasaan. Tetapi jika ada anak muda yang rajin ke masjid, itu suatu yang istimewa kerana berjaya mengenepikan gelora jiwa muda tetapi memilih jalan untuk taat kepada Allah.
Tegasnya, Allah takjub kepada seorang pemuda yang tidak mempunyai sifat sabwah iaitu sifat keanak-anakan. Meskipun masih muda tetapi sudah dewasa dan matang, malah menjauhkan daripada godaan-godaan maksiat dan tiada kecenderungan mengikut hawa nafsu.
Meskipun masih terbabas untuk berbuat dosa, namun mereka masih menggunakan masa muda untuk beribadah dan mencari reda Allah. Apabila tersasar, segera memohon keampunan dan bertaubat. Manusia semuanya berbuat dosa dan tidak maksum seperti Nabi Muhammad SAW.
Terdapat dua nikmat yang mana kebanyakan manusia mudah terpedaya, terlena serta terlupa iaitu nikmat kesihatan dan waktu kosong. Waktu seperti ini kebanyakan ada pada anak-anak muda.
“Hendaklah pemuda-pemuda menjadi pembuka kepada pintu kebaikan dan menjadi penutup pintu-pintu kemungkaran. Berusaha menjadi ejen perubahan ke arah yang baik dalam masyarakat. Tidak hanya menjadi seorang yang soleh, tapi soleh secara sosial.
“Tidak hanya sibuk di masjid atau amalan soleh, tetapi berusaha untuk memberi yang terbaik kepada masyarakat sekeliling. Dalam urusan dunia kita punya cita-cita tinggi, begitu juga dalam urusan akhirat. Kita harus punya cita-cita besar menjadi pemuda-pemuda istimewa dan orang-orang yang Allah takjub kepada dirinya,” katanya.
Sumber: Utusan