KETIKA ini satu demi satu pesawat yang membawa jemaah haji Malaysia kembali ke tanah air. Sudah pastilah ketibaan mereka disambut dengan tangisan kegembiraan oleh ahli keluarga. ‘Perpisahan’ tidak kurang 40 hari dianggap satu jangka masa yang lama.
Apapun tahniah kepada mereka yang menunaikan rukun Islam kelima itu. Kini mereka bergelar ‘haji’ dan ‘hajah’. Mungkin ada perasaan berbeza berbanding sebelum ini. Maklumlah mereka akan dipanggil ‘tuan haji’, ‘pak haji’, ‘puan hajah’ atau ‘mak haji’.
Bagaimanapun seperti mana nasihat dan pesanan beberapa ustaz kepada penulis, bukan soal gelaran yang harus menjadi keutamaan sebaliknya sejauh manakah kita ‘menjaga kemuliaan’ gelaran tersebut.
Justeru kepada ‘pak haji’ dan ‘mak hajah’ yang baru pulang daripada menunaikan ibadah haji fahamilah tanggungjawab berat yang terpikul di bahu mereka. Fahami dan kajilah apakah kita benar-benar sudah mencapai ‘haji mabrur’ atau pemergian kita ke tanah suci sekadar ‘makan angin’.
Atas sebab itulah, ‘pak haji’ dan ‘mak haji’ perlu memahami maksud mereka yang menunaikan ibadah haji bagai bayi baru dilahirkan. Ertinya mereka bersih daripada segala-galanya. Kalau dahulu sebelum ke Mekah, mereka tidak pernah bersolat kini mereka rajin bersolat, kalau dahulu mereka ‘bermulut celupar’ tetapi sekarang mereka menjaga tutur kata dan perbuatan.
Semua itu akan membuktikan bahawa pelaksanaan ibadah haji benar-benar memberi kesan dan membawa perubahan kepada kehidupan mereka khususnya dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Teruskanlah amalan solat berjemaah seperti mana mereka sanggup bangun awal-awal pagi berjalan kaki ke Masjidilharam atau Masjid Nabawi untuk menunaikan solat lima waktu. Janganlah pula setelah pulang ke tanah air, dengar azan berkumandang dari masjid atau surau pun buat ‘pekak badak’ sahaja.
‘Pak haji’ dan ‘mak haji’ harus tahu bahawa kerajinan mereka beribadah bukan hanya disebabkan mereka berada di Mekah dan Madinah, tetapi harus diteruskan sepanjang hayat. Janganlah anggap apabila sudah menunaikan haji, kitalah manusia paling beriman di muka bumi Allah ini dan bersih daripada segala dosa.
Bagi penulis sendiri yang berpeluang membuat liputan dan menunaikan ibadah tersebut musim ini, sama ada kita dipanggil ‘pak haji’ atau ‘mak haji’ tidak penting, tetapi lebih mustahak sejauh manakah perbuatan, tingkah laku dan amal ibadah kita setaraf dengan gelaran tersebut.
Tiada apa yang perlu dibanggakan, kalau pulang daripada menunaikan haji, perangai lama termasuklah tidak menunaikan solat, sombong dan tidak menjaga tutur kata masih berterusan.
Mungkin ‘pak haji’ dan ‘mak haji’ seumpama itu boleh berasa bangga kerana dipanggil gelaran berkenaan tetapi di sisi Allah SWT, mereka hanyalah ibarat buih di pantai yang tiada apa-apa ertinya.
Oleh itu banyak-banyaklah bermuhasabah dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar kita tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat haji mabrur.
Penulis yakin pengalaman di Mekah dan Madinah akan banyak membantu para jemaah haji kita untuk belajar erti kehidupan bagi mengenal manusia serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Tahun ini, pelaksanaan ibadah haji berlangsung dengan tenang, tanpa tragedi atau kejadian tidak diingini. Semua ini adalah rahmat untuk jemaah haji Malaysia serta jemaah haji seluruh dunia.
Apapun kepada seluruh jemaah haji Malaysia termasuk yang mash berada di Mekah dan Madinah sehingga pertengahan bulan depan, selamat kembali ke tanah air dan semoga segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.
Sumber: Utusan