Israel Tingkatkan Kawalan Sempena Yom Kippur


BAITULMAQDIS – Israel meningkatkan kawalan keselamatan dan melarang penduduk Palestin memasuki wilayah itu dari Tebing Barat atau Baitulmaqdis menjelang sambutan perayaan Yom Kippur bermula petang Selasa.

Ribuan puak Yahudi melawat Tembok Barat di Kota Lama di timur Baitulmaqdis menjelang Yom Kippur atau Hari Kedamaian, yang berakhir petang Rabu.

Langkah sama juga diambil sempena perayaan Rosh Hashanah minggu lalu dan akan dilaksanakan sekali lagi minggu depan berikutan pesta Sukkot.

Tahun lalu, sambutan itu membawa kepada pertempuran dan menandakan kebangkitan dalam serangan menggunakan senjata, pisau atau rempuhan kereta dalam kalangan penduduk Palestin.

Pasukan keselamatan Israel dalam keadaan berwaspada selepas penduduk Palestin membunuh dua orang di Baitulmaqdis pada Ahad.

Lebih 3,000 anggota polis ditempatkan di bandar raya sempena Yom Kippur, hari paling suci dalam kalendar Yahudi, dan jurucakap polis, Micky Rosenfeld, berkata sekatan jalan raya diperhebatkan.

Penutupan wilayah Palestin kerap dilakukan bagi sambutan hari kebesaran Yahudi.

Sekatan kali ini cuma dikenakan terhadap penduduk Palestin dan bukan ke atas sekitar 400,000 peneroka haram Yahudi di Tebing Barat. – AFP