Isu "Pretzel Dog": Persatuan Ulama Pertahan Jakim


KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) kesal dengan tindakan netizen mencemuh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana masih belum mengeluarkan sijil halal kepada syarikat Auntie Anne’s.

Yang Dipertuanya, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, PUM mengambil pendirian menyokong sepenuhnya pendekatan yang digunakan oleh Jakim dalam menangani isu berkenaan yang diviral di media sosial.

Pensijilan Halal Malaysia mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Piawaian yang diguna pakai ini dapat diterima malah turut menjadi rujukan oleh pelbagai pihak di peringkat antarabangsa.

“Oleh yang demikian, sangat wajar bagi para pemohon pensijilan Halal Malaysia agar dapat menghormati standard yang telah pun diiktiraf tersebut,” tegasnya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Al-Syeikh Abdul Halim berkata, Islam bukan bertujuan untuk menyusahkan sesiapa tetapi pensijilan halal itu bertepatan dengan prinsip dan tujuan Syariah (Maqasid Syariah).

Justeru tegasnya, syarat-syarat dan garis panduan oleh Jakim sudah tentu untuk memudahkan proses yang berjalan.

Oleh demikian, katanya, PUM menyeru supaya syarikat-syarikat yang ingin memohon pensijilan Halal Malaysia agar dapat mematuhi piawaian, syarat-syarat dan SOP yang telah digariskan.

“PUM juga berharap orang ramai agar tidak mencemuh sesiapa dalam isu ini. Jangan cepat menuduh dan menyebarkan sesuatu yang tidak benar,” katanya.

Sebelum ini netizen mencemuh Jakim kerana tidak mengeluarkan sijil halal untuk produk makanan Auntie Anne’s iaitu ‘Pretzel Dog’. –Kedahnews.com