ALOR SETAR - Persepsi negatif terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilihat di ruang maya hanyalah merupakan salah satu teknik propaganda zaman internet yang bersifat "character assasination" yang tidak berakhlak.
Pengerusi Belia 4B Negeri Kedah, Mohamad Noor Azam Ismail berkata, persepsi tersebut bukan merupakan realiti kehidupan sebenar anak-anak muda di Kedah sebagaimana yang digembar-gemburkan di media sosial.
"Saya jumpa ramai anak-anak muda di Kedah ni, ramai yang suka Datuk Seri Ahmad Bashah.. sama seperti depa suka Datuk Seri Mukhriz.. hampir tiada beza.. realitinya dalam dunia sebenar adalah berbeza, tidak seperti persepsi di media sosial.
"Realiti yang sebenarnya ialah tidak timbul pun isu tak suka pada Ahmad Bashah.. Di media sosial itu hanya persepsi saja, malah ramai yang bukan orang Kedah pun, orang luar yang tak tahu hal sebenar di sini," jelasnya kepada Kedahnews.com.
Namun begitu katanya, Ahmad Bashah sebagai "ayah" perlu bijak mendekati anak-anak muda di negeri ini dengan menggunakan pendekatan-pendekatan baru yang memberi manfaat kepada mereka dan masa depan generasi muda di negeri Kedah.
"Kelebihan Mukhriz mungkin dia macam 'abang', Ahmad Bashah pula bagaikan seorang 'ayah'. Jadi beliau perlu gunakan pendekatan-pendekatan berbeza untuk lebih rapat dengan 'anak-anak'nya.
"Tapi saya yakin, sifat kebapaan Ahmad Bashah terserlah dan jika beliau lebih banyak meluangkan masa bersama anak-anak muda di negeri ini, mungkin ia akan mengubah persepsi tidak benar terhadap beliau sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Darul Aman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, ketika dihubungi menjelaskan bahawa persepsi negatif terhadap Ahmad Bashah di media sosial telah ditanam awal sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Bakar Bata) itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar lagi.
Jelasnya, persepsi tersebut dipercayai sengaja dimainkan oleh segelintir "keyboard warriors" yang berkepentingan dan dilihat sering bersama Mukhriz di program-program Adun Ayer Hitam itu sebelum ini.
"Sebelum Ahmad Bashah angkat sumpah pun mereka sudah mainkan sentimen menghentam beliau. Macam-macam serangan dilakukan terhadap beliau walaupun belum angkat sumpah lagi ketika itu.
"Saya lihat, orang yang sama saja yang tabur persepsi negatif terhadap Menteri Besar sekarang. Ia seolah-olah gerakan terancang dari pihak berkenaan. Mungkin mereka cari makan begitu selama ini," katanya.
Biarpun ditabur dengan tohmahan dan persepsi negatif, Ahmad Bashah tidak menghiraukan permainan politik kebudak-budakan tersebut dan tetap meneruskan agenda memberi khidmat terbaik demi masa depan rakyat Kedah secara keseluruhan, jelasnya lagi. -Kedahnews.com