Jangan Ambil Jurulatih Sekadar Pandai Mengarah Sahaja - Misbun


MELAKA – “Ambil jurulatih yang mampu melatih dan mengembangkan bakat pemain, bukan sekadar pandai mengarah sahaja,” kata bekas jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek.

Katanya negara memerlukan jurulatih yang mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dan seterusnya menghasilkan modul baharu bagi mengatasi negara lain.

Menurut Misbun, proses pembangunan pemain terutama untuk skuad pelapis negara ketika ini begitu umum disebabkan jurulatih sering bertukar ganti.

“Bagi mendapatkan satu-satu teknik dan kemahiran, seorang pemain mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun… sebagai contoh, smash sahaja mempunyai 108 jenis, jadi pengkhususan itu perlu,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Kem Bakat Badminton anjuran Jabatan Belia dan Sukan Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas di Kompleks Belia dan Sukan, Ayer Keroh di sini.

Seramai 62 peserta berumur di bawah 12 tahun menyertai program berbentuk klinik dan latihan di bawah kendalian Misbun yang merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Kelab Badminton Nusa Mahsuri.


Misbun menjelaskan untuk melahirkan lebih ramai pemain berprestasi tinggi seperti jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, tumpuan secara khusus perlu diberikan kepada pemain merangkumi pelbagai aspek.

“Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang pun (negara) belum tentu dapat (pemain) macam Chong Wei kerana dia istimewa disebabkan dia dibangunkan melalui beberapa aspek khusus seperti teknikal, corak permainan serta persiapan dari segi mental,” katanya.

Selain itu katanya, sikap pemain muda yang tidak mahu bekerja keras atau terlalu manja menyebabkan mereka gagal menangani tekanan dan latihan intensif dalam program pembangunan pemain pelapis negara.

Menurutnya negara mempunyai ramai pemain muda berbakat untuk diserap ke sekolah sukan, namun setelah tamat sekolah dan diserap ke program pembangunan mereka terus tenggelam.

“Apabila sampai masanya mereka tamat persekolahan di tingkatan lima dan ingin menyertai skuad elit remaja negara, mereka tidak dapat menghadapi tekanan latihan iaitu dua kali sehari.

“Ramai yang tidak tahan disebabkan kebiasaan mereka ketika bersekolah, pagi mereka ke sekolah dan petangnya baru berlatih…akhirnya mereka ambil keputusan keluar kerana tidak mampu bersaing dengan pemain lain,” katanya. – BERNAMA