Jangan Terpedaya Dakyah "Tiada DAP, PAS Tak Menang" – Dr. Mahfodz


KUALA LUMPUR – PAS menjalin tahaluf siyasi dengan DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini kerana parti itu tahu matlamat PAS untuk melaksanakan Islam di negara ini.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, PAS bagaimanapun memutuskan tahaluf siyasi berkenaan apabila mendapati DAP sebenarnya menentang Islam.

“Sebab itulah kita sanggup untuk memutuskan tahaluf siyasi kita dahulu. Pasal kita ingin mengutamakan dasar kita.

“Tepat kenyataan Mursyidul Am PAS yang baru Hashim Jasin bahawa PAS sanggup berpatah arang. PAS tidak akan masuk lubang dua kali,” katanya dalam satu himpunan baru-baru ini.

Justeru, Mahfodz mengingatkan ahli PAS supaya tidak terpedaya dengan dakyah bahaw PAS tidak akan menang pilihan raya tanpa DAP.

Jelasnya, kepercayaan terhadap dakyah tersebut merupakan satu kesalahan di sisi Islam kerana tidak akan kemenangan melainkan daripada Allah S.W.T.

“Kita tak boleh yakin dengan kata-kata “kalau tiada DAP, PAS tidak akan menang”. Kita tidak boleh yakin, salah keyakinan dan kepercayaan itu,” tegasnya.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) sebelum ini mendakwa PAS tidak akan menang tanpa DAP.

Dakyah itu dibuat bagi menggugut PAS supaya kembali menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menumbangkan parti Melayu UMNO.

Desakan itu sebenarnya dibuat selepas Pakatan Harapan berasa gusar akan kehilangan sokongan ahli PAS yang majoriti mereka kaum Melayu. -Kedahnews.com