Kad Parkir Jatuh Punya Pasal, Bentley Rempuh Medan Selera

GARA-GARA cuba ambil kad parkir yang terjatuh, seorang pemilik Bentley tidak sengaja tertekan pedal minyak kereta hingga menyebabkan kenderaannya merempuh sebuah medan selera.

Dalam kejadian kira-kira 10.10 pagi di Menara Millenium, Damansara, pada Jumaat itu, pemandu lelaki berusia 51 tahun berkenaan termasuk pengunjung medan selera bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu terbabit mahu menyentuh kad pada mesin palang tempat letak kereta.

“Bagaimanapun kad berkenaan terjatuh dan sewaktu lelaki berkenaan mahu mengambilnya dia secara tidak sengaja terpijak pedal minyak.

“Kejadian menyebabkan kereta dipandu itu memecut ke hadapan dan melanggar tiga tiang penghadang sebelum merempuh cermin besar serta masuk ke dalam medan selera.

“Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana tidak ramai berada di medan selera berkenaan. Kemalangan itu hanya menyebabkan kerosakan harta benda milik syarikat bangunan berkenaan sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan.

Berikutan itu, siasatan lanjut dilakukan mengikut Peraturan 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. –Kedahnews.com