Kakitangan, 3 Pelajar Politeknik Terdedah Merkuri Di Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM – Seorang kakitangan dan tiga penuntut Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini terdedah kepada pencemaran merkuri selepas alat menguji tekanan darah pecah dalam sebuah bilik kuliah di politeknik itu, semalam.

Petugas lelaki berusia 30-an dan tiga pelajar wanita berumur 20 tahun itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Pegawai Perhubungan Media Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.37 pagi.

“Alat itu terjatuh sebelum pecah di atas lantai menyebabkan berlaku tumpahan merkuri,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata lapan anggota Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) membersihkan tumpahan merkuri itu menggunakan sulfur dan bahan peluntur.

Kawasan itu dibiarkan kosong sehingga keadaan selamat dan operasi tamat pada pukul 10.04 pagi, katanya. – BERNAMA