Kanak-Kanak Jatuh Eskalator Dirawat Di Hospital Pulau Pinang


GEORGE TOWN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang terjatuh daripada sebuah eskalator dalam Kompleks Beli-Belah Bukit Jambul pada Ahad kini ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang.

Insiden kanak-kanak itu terjatuh dari tingkat satu ke tingkat bawah pada pukul 6.30 petang Ahad telah dirakam oleh sebuah kamera litar tertutup.

Difahamkan kanak-kanak itu dipegang oleh bapanya dan terjatuh ketika mereka sedang turun menggunakan eskalator.

Kanak-kanak itu terjatuh daripada ketinggian kira-kira tiga meter.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kanak-kanak itu sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan polis kini sedang menyiasat kejadian itu. - BERNAMA