Keadaan Najib Sama Dengan Mahathir Ketika Jadi PM


ALOR SETAR - Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin hari ini mendakwa senario yang melanda Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah hampir sama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mentadbir negara sebelum ini.

Ahmad menegaskan bahawa Mahathir juga pernah dituduh dengan pelbagai tohmahan ketika menjadi Perdana Menteri dahulu dan tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan atau hukuman dari mana-mana mahkamah.

"Saya menaruh kepercayaan dengan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib kerana setakat ini hanya pertuduhan sahaja yang dilemparkan terhadap beliau tanpa sebarang hukuman dikenakan.

"Keadaannya hampir sama ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Walaupun banyak pertuduhan dibuat terhadap beliau, tetapi saya selaku ahli parti sentiasa mempertahankan kepimpinan beliau.

"Ini adalah kerana, Tun Dr Mahathir pada ketika itu tidak pernah dijatuhkan hukuman sebagai seorang yang bersalah," jelasnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Selain itu Ahmad turut menyelar Parti Pribumi Bersatu Malaysai (PPBM) yang mendakwa Barisan Nasional (BN) akan "tumbang" di negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Beliau turut menjelaskan kesan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah yang menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah berhubung perbezaan ketara yang dilihat dari sudut pendekatan yang berbeza.

"Negeri Kedah kini telah menerima Menteri Besar yang baru dan saya juga telah mula nampak kesan daripada perlantikan tersebut khususnya kepada parti UMNO itu sendiri.

"Pemimpin-pemimpin UMNO negeri sudah mula bersatu antara mereka. Peranan Menteri Besar yang baru ini, sebagai orang lama dan berpengalaman telah dapat memenangi jiwa dan hati Adun-Adun, Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Ketua Bahagian dan ahli-ahli UMNO khususnya.

"Sedangkan ketika Datuk Seri Mukhriz menjadi Menteri Besar, ramai Ketua-Ketua Bahagian, Adun-Adun, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat telah mengambil sikap tidak peduli kerana sikap beliau selaku Menteri Besar yang hanya mementingkan rakan-rakan di sekelilingnya sahaja.

"Namun kini, kita sudah dapat melihat, UMNO sudah mula menuju ke arah penyatuan dan bekerjasama untuk sama-sama membantu Menteri Besar sekarang," tegas beliau.

Mukhriz sebelum ini terpaksa meletak jawatan apabila Jemaah Pemangku Sultan Kedah mendapati dan memutuskan bahawa majoriti Adun Kedah telah hilang kepercayaan kepada beliau selaku Menteri Besar setelah satu sesi siasatan dijalankan.

Sebelum itu, 14 Ketua UMNO Bahagian dari 15 UMNO Bahagian, Adun-Adun BN, Ketua-Ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kedah telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz dalam satu sidang akhbar, dan menuntut Pengerusi BN supaya menggugurkan Mukhriz dari jawatan Menteri Besar.

Difahamkan bahawa majoriti kepimpinan dan akar umbi mendesak supaya Mukhriz digugurkan dari jawatan tersebut ekoran kegagalan beliau mentadbir secara seimbang dengan konsep teras "parti yang memerintah kerajaan", selain gagal mewujudkan hubungan politik yang baik dengan kepimpinan UMNO Negeri dan Pusat.

Setelah meneliti dan selepas Mukhriz meletak jawatan, Mohd Najib kemudiannya telah memutuskan untuk melantik Ahmad Bashah selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sebagai Menteri Besar. -Kedahnews.com