Kebakaran HSA: Dipercayai Akibat Lintar Pintas - KP Johor


JOHOR BAHRU – Polis tidak menolak kemungkinan kejadian kebakaran di tingkat dua wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini disebabkan litar pintas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat litar pintas di wad ICU bahagian selatan bangunan hospital itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu namun siasatan rapi masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini berlaku akibat daripada litar pintas di wad ICU selatan,” katanya.

Sulaiman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu seramai tujuh pesakit dan lapan kakitangan hospital berada di wad tersebut.

Menurutnya, enam pesakit iaitu empat perempuan dan dua lelaki meninggal dunia manakala seorang pesakit berjaya diselamatkan namun melecur hampir 80 peratus.

Katanya, pesakit yang melecur kini ditempatkan di wad lain di HSA untuk rawatan.

“Tiga kakitangan hospital yang berada di dalam wad itu tidak mengalami cedera parah dan hanya sukar untuk bernafas akibat asap tebal.

“Kami kini sedang mengesan waris untuk memaklumkan kejadian ini,” katanya semua mayat mangsa dihantar ke unit forensik untuk bedah siasat.

Jelasnya, ketika kejadian terdapat 28 pesakit dan 193 kakitangan hospital berada di bangunan utama hospital berkenaan berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke kawasan selamat.

Sulaiman berkata, usaha memadamkan kebakaran masih dijalankan dan keadaan kini disahkan selamat. -Kedahnews.com