Kelulusan Akademik Di Profil Syarikat Azizan Osman "Dipadam"?

TIADA lagi paparan kelulusan dalam profil syarikat yang diasaskan pakar motivasi, Azizan Osman selepas penafian Universiti Malaya (UM) mengenai penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Keusahawanan, semalam.

Pemerhatian ramai pihak mendapati paparan kelulusan itu telah ‘dihapuskan’ lewat malam tadi dan tindakan itu menimbulkan persoalan.

Dalam profil Richworks Group of Companies, terdapat maklumat mengenai Azizan yang memaparkan kelulusan Ijazah Doktor Kehormat Keusahawanan (Ph.D (Hon) Entrepreneurship UM) namun selepas kenyataan penafian yang dikeluarkan UM, kelulusan tersebut sudah ‘hilang’.

Beliau yang juga pengasas syarikat berkenaan bagaimanapun sehingga kini masih mengambil tindakan berdiam diri mengenai isu ini.

Netizen turut mempersoalkan tindakan pakar motivasi yang tidak tampil memberikan penjelasan dan mempertahankan diri tetapi hanya memadamkan kelulusan yang didakwa dimilikinya dalam profil syarikat.

Azizan sepatutnya tampil menjelaskan keadaan sebenar dan bukan membiarkan persoalan mengenai isu ini berlegar-legar tanpa jawapan. – Kedahnews.com