Kemewahan Itu Bukan Nikmat, Tapi Ujian Allah


“SAYA pernah masuk ke sebuah restoran di Barat, seperti sedia maklum agak sukar untuk mencari kedai halal di sini dan selepas mendapat tahu pemilik restoran itu beragama Islam, saya membuat keputusan untuk makan di premis tersebut.
 
“Malangnya, ketika menunggu pesanan, saya ternampak pelayan menyediakan minuman alkohol kepada pengunjung. Lalu saya bertanya kepada pemilik restoran itu, ‘adakah makanan di sini halal? Dia menjawab: Alhamdulillah,” kata Bilal Assad memulakan perkongsian.

Mengambil contoh situasi yang berlaku, Pensyarah Islamic Society of Victoria University, Australia itu berkata, demi mengejar keuntungan dunia, manusia termasuk umat Islam sanggup menggadaikan agama dengan melakukan perkara bertentangan perintah syariat.

Mengulas lanjut, pendakwah terkemuka antarabangsa itu berkata, menggunakan kalimah Alhamdulillah, pemilik restoran itu berusaha meyakinkan pengunjung beragama Islam untuk makan di restorannya walaupun hakikatnya menyajikan makanan haram.


Keadaan itu, tambahnya, menggambarkan sikap segelintir umat Islam yang lebih mementingkan kemewahan dunia berbanding kemewahan sebenar dan abadi di akhirat.

“Untuk memperoleh wang atau kekayaan dunia, kita sanggup melakukan apa sahaja. Kita sanggup melanggar perintah syariat, malah, kita juga boleh secara tiba-tiba menjadi Muslim yang baik dengan melakukan pelbagai ibadah apabila membabitkan sesuatu kenikmatan berupa wang, harta dan kekayaan.

“Ramai umat Islam dilihat mengucapkan Alhamdulillah kerana beranggapan Allah mengurniakan kepada mereka rezeki dan sebagai tanda syukur. Mereka menganggap Allah mengurniakan mereka nikmat, walaupun hakikatnya tidak melaksanakan perintah Allah, tidak menunaikan solat dan puasa, malah tidak berkelakuan seperti seorang Muslim,” ujarnya.

Dilahirkan di Williamstown, Melbourne, Australia, Bilal mendapat didikan agama Islam sejak usia muda sebelum menyambung pengajian di Lebanon dalam bidang Syariah. Beliau seterusnya menyambung pengajian tinggi dalam bidang Sains Bioperubatan di Australia.


Bagaimanapun, beliau berkata, hakikatnya umat Islam perlu sedar, nikmat kesenangan dunia yang dikurniakan itu tidak melambangkan apa-apa di sisi Allah SWT, tetapi merupakan satu bentuk ujian.

Sebaliknya, ujar Bilal, tahap keimanan dan ketakwaan seorang Muslim tanpa mengira pangkat dan kedudukan di dunia itu yang menjadi penentu arah kehidupannya di akhirat kelak.

“Jika Allah menguji dengan memberikan kepada kita sebahagian kurniaan-Nya, kita akan berkata, ‘Tuhan memberkatiku, Dia mencintaiku’. Kita terus hanyut dalam kemewahan dunia tanpa menyedari segala kurniaan itu merupakan ujian Allah untuk menilai iman hamba-Nya.

“Ia sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Anfal: 28 bermaksud:
“Ketahuilah bahawa harta kamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar.”
"Kita menganggap Allah menyayangi kita kerana mengurniakan nikmat dan kekayaan tanpa perlu bersusah payah beribadah.

“Sedangkan kita terlupa, seorang jutawan boleh hilang segala-galanya dengan serta merta hanya dalam satu malam jika ditakdirkan Allah. Firman Allah bermaksud;
“Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.” (ar-Ra’du: 26),
jelasnya.

Sehubungan itu, Bilal berkata, umat Islam perlu mengingati bahawa segala yang dikurniakan Allah sama ada kemewahan atau kemiskinan di dunia merupakan ketentuan terbaik kepada hamba-Nya.

“Tiba satu masa nanti, apabila Allah menarik segala nikmat itu dengan menyempitkan rezeki, maka kita mula berkata; ‘Allah menghina aku, dia tidak lagi bersama denganku. Mengapa perlu aku beriman dengan Allah setelah dia melakukan aku sebegini.’

“Sewaktu senang, kita tidak pernah berusaha mencari orang yang memerlukan seperti golongan miskin dan anak yatim, sebaliknya menghabiskan kekayaan itu ke arah lain. Apabila susah, kita masih tidak sedar, malah mula menyalahkan Allah sehingga mengatakan ‘Tuhan itu kejam’.

“Ingatlah saudaraku, apabila Allah mengurniakan sesuatu nikmat, jangan lupa tujuan kita diciptakan di dunia (untuk beribadat kepada Allah). Apabila Allah menarik nikmat kita, ketahuilah bahawa Allah cuba menggantikannya dengan pelbagai nikmat lain seperti nikmat kesihatan atau sebagainya yang tidak kita sedari,” jelasnya.

Sumber: Utusan