Kenapa Tidak Jadikan Al-Quran Seperti "Smartphone" Kita?


BERMULA dari bangun tidur, selesai mandi, ketika menunggu pengangkutan awam untuk pergi bekerja atau pusat pengajian, sehinggalah kembali pada waktu sebelum tidur, telefon bimbit dilihat seperti ‘nyawa’ yang tidak boleh terpisah dalam kehidupan harian manusia.

Ia berikutan kecanggihan teknologi moden pada hari ini yang menjadikan segala urusan manusia serba mudah dan pantas. Namun, di sebalik kemajuan itu, membuatkan umat Islam khususnya di Malaysia terus terleka termasuklah dalam perkara ibadah seperti membaca al-Quran.

Realiti yang berlaku, jarang sekali dapat dilihat masyarakat Islam membaca al-Quran pada waktu lapang berbanding dengan penggunaan telefon pintar yang lebih menjadi keutamaan. Fenomena ini jelas berlaku di mana sahaja berada, kita akan melihat semua orang tidak kira lelaki atau wanita, tua dan muda, juga anak-anak kecil sentiasa memegang telefon.

Bukan sahaja ketika berbual dan bersembang secara santai bersama rakan dan orang lain, malah ramai juga dalam kalangan kita yang gemar melayani telefon walaupun ketika menghadiri majlis formal seperti dalam mesyuarat.

Suasana harmoni ketika menjamu selera bersama keluarga yang dulunya diluangkan untuk bersama, kini telah semakin pudar kerana masing-masing leka melayan telefon bimbit. Lebih menyedihkan, terdapat umat Islam masih leka melayan telefon ketika khatib sedang menyampaikan khutbah Jumaat dan juga dalam majlis ilmu.

Kita sanggup berpatah balik jika tertinggal telefon bimbit di rumah. Merasa resah gelisah apabila peranti itu tiada di sisi. Begitu dahsyat tamparannya kepada kehidupan manusia yang terpedaya dengan ujian Allah tersebut.

Namun berapa ramai dalam kalangan kita menyedari perkara ini dan mengambil berat terhadap ujian yang Allah turunkan ini. Kita diuji dengan keseronokan dunia sehingga akhirnya semakin lalai daripada mengingati Allah.

Sehubungan itu, umat Islam perlu sedar dan mengetahui kepentingan sebenar iaitu mempelajari, membaca seterusnya menghayati pengajaran dalam al-Quran. Tambahan pula, menguasai al-Quran sangat penting kerana menjadi kewajipan bagi umat Islam membaca ayat al-Quran ketika melaksanakan fardu solat.

Malangnya, membaca al-Quran tidak menjadi amalan seharian bagi segelintir masyarakat. Ramai yang membacanya hanya ketika waktu tertentu seperti ketika mengerjakan solat atau pada bulan Ramadan kerana ingin mengejar fadhilat khatam al-Quran pada bulan itu.

KESAHIHAN AL-QURAN

Al-Quran ternyata menjadi petunjuk dan pedoman kepada umat manusia serta membawa manusia ke jalan kebenaran. Dalamnya terkandung penuh nasihat, peringatan, perintah melaksanakan kebaikan dan menegah daripada melakukan maksiat.

Justeru, al-Quran sepatutnya menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian berbanding telefon pintar.

Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan demikianlah pula Kami menurunkan al-Quran itu sebagai ayat-ayat keterangan yang jelas nyata; dan sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan dan undang-undang-Nya).” (al-Hajj: 16)
Al-Quran lebih jelas dan nyata tanpa ada keraguan setiap huruf dan helaian muka suratnya berbanding telefon pintar yang hanya bersandar kepada penerimaan dan penyebaran berita. Sama ada sahih atau tidak berita tersebut, kita sendiri tidak pasti.

Justeru, mengapa kita membiarkan berita yang tidak pasti kesahihannya tersebar tanpa memikirkan kesan dan akibatnya. Tanyalah kepada diri sendiri berapa lama masa yang diambil untuk membaca al-Quran sehari berbanding melayani telefon pintar?

Bukan bermakna umat Islam perlu mengetepikan kemajuan teknologi, sebaliknya harus bijak memanfaatkannya. Telefon pintar perlu diletakkan pada kedudukannya yang sesuai iaitu sebagai alat komunikasi.

Telefon pintar juga boleh digunakan untuk mencari ayat al-Quran, membaca dan mempelajari tafsirnya. Malah kecanggihan teknologi terkini membolehkan kita melayari Internet untuk mendapatkan apa sahaja yang kita inginkan termasuk memuat turun perisian mashaf al-Quran.

Namun, kita perlu berhati-hati dalam memilih perisian yang betul agar tidak tersilap sekali gus menjejaskan akidah.


Umat Islam perlu membudayakan kehidupan dengan bacaan al-Quran walaupun sehari satu ayat, sama ada ketika di rumah atau di mana sahaja berada. Pelajari lah segala pengajaran yang terkandung dalam al-Quran dan mengamalkannya untuk seluruh kehidupan agar memperoleh syafaat di akhirat kelak.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada orang yang membacanya”. - Riwayat Muslim
Menggunakan telefon pintar dengan keterlaluan membuatkan manusia semakin kurang beradab, tidak memikirkan keselamatan diri dan kepentingan orang lain kerana leka melayan kehendak sendiri di alam maya

Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengatakan kehidupan di dunia umpama permainan dan senda gurau. Malah, Allah menegaskan bahawa kehidupan di dunia begitu rendah dan hina berbanding kehidupan di akhirat.

Sumber: Utusan