Kes Buli Pelajar Sekolah Menurun – Mahdzir Khalid


KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata terdapat penurunan kes salah laku buli dalam kalangan pelajar sekolah iaitu daripada 0.08 peratus pada 2013 kepada 0.06 peratus pada 2015.

Meskipun terdapat penurunan, beliau berkata kementerian akan terus berusaha memastikan kes-kes itu tidak berulang menerusi pelaksanaan pelbagai pendekatan antaranya mewajibkan penubuhan Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan mengarahkan pihak sekolah mengadakan Mesyuarat Permuafakatan Sekolah jika kes perlu ditangani segera.

“Mesyuarat berkala bersama Polis Diraja Malaysia juga turut diadakan, selain merekodkan salah laku murid ke dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) secara dalam talian untuk pelaksanaan intervensi bersesuaian terhadap murid,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) mengenai tindakan kementerian untuk membanteras kes buli di sekolah yang dilihat semakin menjadi-jadi kerana dikhuatiri mengancam keselamatan mereka.

Kepada soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mengenai statistik kes buli di sekolah, Mahdzir berkata 4,159 kes dilapor pada 2012; 4,120 kes (2013); 2,885 kes (2014) dan 2,968 kes (2015) dan kebanyakannya melibatkan kes buli fizikal. – BERNAMA