Kes Bunuh Diri: Isteri Rayu Henti Sebar Status FB, Gambar Suami


GEORGE TOWN – Isteri kepada mangsa yang dipercayai terjun Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) merayu penguna media sosial berhenti menyebar status dan gambar suaminya.

Kata isteri Mohd. Shukri Saad, 38,  penyebaran viral itu menambah tekanan buat dirinya sekeluarga dan apa yang dilakukan suaminya bukanlah sesuatu yang diingini.

Oleh itu, wanita itu berharap jasa baik pengguna sosial agar memahami keadaan mereka sekeluarga.

“Tolong jangan sebarkan apa-apa lagi status dimuat naik daripada Facebook suami saya termasuk gambar kami dan anak-anak.

“Perbuatan sebegini secara tidak langsung boleh menjatuhkan maruah seluruh keluarga kami.

“Kami sekeluarga amat tertekan dan saya tidak menyangka perkara ini boleh berlaku walaupun pada hakikatnya saya tahu apa masalah yang dihadapi suami,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan.

Terdahulu, akhbar melaporkan Shukri terjun dari jambatan kedua Pulau Pinang itu pada Selasa ekoran dipercayai tertekan dengan dakwaan mahkamah terhadapnya berikutan kes penyeludupan rokok.

Sebelum insiden itu, mangsa juga dipercayai memuat naik status di laman Facebook miliknya memohon maaf serta meluahkan rasa kecewa dan takut sekiranya dipenjara atas kesalahan yang dilakukan.

Status luahan itu kemudian menjadi viral di laman sosial.

Mayat mangsa telah ditemui kira-kira satu batu nautika dari kawasan mangsa dikatakan terjun, jam 9.02 pagi Jumaat. -Kedahnews.com