Kes Rasuah Di Sabah: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kerajaan Ditahan


KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan di Sabah bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan SPRM berkata suspek berusia 62 tahun tersebut telah bersara tahun lalu dan dilantik menjadi penasihat kewangan di sebuah agensi kerajaan.

“Suspek ditahan di pejabatnya semalam,” kata sumber yang rapat dengan pasukan SPRM itu.

Sumber itu berkata siasatan awal mendapati suspek tersebut iaitu suspek kelima ditahan SPRM, juga menerima sejumlah wang daripada kontraktor ketika memegang jawatan sebagai timbalan pengarah jabatan kerajaan terbabit.

“SPRM telah merampas dua kereta milik suspek iaitu Mercedes Benz dan Land Cruiser. Tiada sebarang rampasan wang tunai dibuat setakat ini,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu juga berkata suspek berkenaan ditahan reman selama enam hari, mulai hari ini, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, SPRM menahan empat individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah jabatan kerajaan berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut.

SPRM turut merampas lebih RM114.5 juta, barang kemas bernilai RM3.64 juta dan 127 geran tanah dianggarkan bernilai RM30 juta, sekali gus menjadikan kes tersebut sebagai kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Siasatan kes itu akan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM, Seksyen 17(a) Akta SPRM, Seksyen 23 Akta SPRM, Seksyen 132 Akta Syarikat, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram. – BERNAMA