Kesihatan Juga Aset Utama Yang Perlu Diberi Fokus


SEREMBAN – Pepatah Melayu ada menyatakan ‘sediakan payung sebelum hujan’ manakala pepatah Inggeris pula berbunyi ‘prevention better than cure’.

Kedua-dua pepatah ini walaupun memiliki bunyi yang berlainan namun membawa maksud yang sama iaitu persediaan seseorang itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah penyakit.

Hari ini, rata-rata berpandangan bahawa hartanah, rumah, duit dan kenderaan dianggap sebagai aset paling utama dalam kehidupan. Tetapi ramai yang lupa bahawa kesihatan juga adalah aset utama yang perlu dijaga demi mencapai kesemua itu.

KESIHATAN ASET UTAMA

Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia (MDC) Dr. Muhammad Hakim Nordin berkata kesihatan seharusnya dianggap sebagai aset utama dalam kehidupan masyarakat.

Persepsi masyarakat terhadap kesihatan masih lagi ditakuk lama dengan perasaan endah tidak endah untuk melakukan pelaburan kesihatan.

“Sepertimana pada hari ini, kita sibuk dengan pelbagai jenis pelaburan berbentuk monitari, seharusnya usaha yang sama patut disalurkan kepada pelaburan terhadap kesihatan kita umumnya.

“Namun, gambaran yang dilakarkan oleh hasil tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan 2015 baru-baru ini memaparkan suatu gambaran yang sebaliknya. Trend kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia menjurus ke arah pencapaian dalam bentuk obesiti serta penyakit kronik,” katanya kepada Bernama di sini.

MALAYSIA JUARA OBESITI?

Beliau berkata jika dilihat kepada informasi-informasi yang dikeluarkan oleh jurnal perubatan Britain, The Lancet, Malaysia boleh dianggap sebagai juara obesiti di rantau Asia.

Hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiti Kebangsaan 2015 pula menyokong fakta ini dengan menunjukkan bahawa hampir separuh rakyat Malaysia berusia lebih 18 tahun (47.7 peratus) mengalami permasalahan berat badan berlebihan atau obesiti.

“Terdahulu obesiti merupakan suatu keadaan sahaja di mana ia menggambarkan situasi berat badan yang berlebihan. Namun kini obesiti digelar sebagai suatu penyakit.

“Ramai dalam kalangan masyarakat masih tidak tahu bahawa obesiti merupakan pemangkin kepada penyakit-penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan kencing manis (diabetes)…kehadiran faktor obesiti meningkatkan risiko penyakit kronik dengan kadar yang lebih cepat,” katanya.

Hasil tinjauan itu juga menunjukkan bahawa insiden penyakit kronik dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dengan kadar yang membimbangkan.

“Dapat dilihat bahawa 30.3 peratus masyarakat Malaysia berusia lebih 18 tahun mengalami masalah tekanan darah tinggi, manakala 47.7 peratus menghidap masalah paras kolesterol tinggi dan diabetes (kencing manis) mencecah 17.5 peratus,” katanya.

PENYAKIT KRONIK


Muhammad Hakim berkata apa yang perlu masyarakat fahami adalah komplikasi akibat penyakit-penyakit kronik ini secara umumnya akan hadir bukan dalam masa terdekat, tetapi dalam tempoh 15 hingga 30 tahun akan datang.

Penyakit tekanan darah tinggi, contohnya, sekiranya tidak dirawat dengan optimum boleh menyebabkan implikasi buruk kepada saluran darah melalui pembinaan ‘plaque’ pada permukaan dalaman salur darah (atherosclerosis).

Katanya, ia seterusnya menyebabkan kejadian serangan strok, lemah jantung, serangan jantung, kegagalan jantung, kerosakkan dan kegagalan buah pinggang (melalui proses nephropathy), kerosakkan hati, serta kerosakkan fungsi mata.

“Kesemua komplikasi ini muncul bertahun selepas penyakit didiagnos seperti penyakit kencing manis, kerosakan organ seperti kegagalan fungsi buah pinggang, peningkatan risiko serangan jantung dan kerosakan saraf mata.

“Dengan kadar bilangan masyarakat Malaysia yang ramai masih takut untuk mendapatkan rawatan perubatan moden akibat terpengaruh dengan stigma di media sosial seperti ‘ubat merosakkan buah pinggang’ maka, konklusi logikal yang dapat dibuat adalah dalam jangka masa sekitar 15 hingga 30 tahun lagi, ramai dalam kalangan penghidap penyakit kronik di negara kita akan mengalami komplikasi penyakit,” katanya.

Beliau berkata ini seterusnya menyumbang kepada pertambahan beban dalam sistem kesihatan kerajaan.

Muhammad Hakim berkata akibat daripada fenomena ini, jika persediaan rapi tidak dilaksanakan, ia akan mencetuskan suatu krisis kepada sistem kesihatan negara.

PENDIDIKAN BERTERUSAN

Pendidikan dan hebahan mengenai penyakit kronik menerusi poster-poster secara konvensional mahupun di laman media sosial perlulah disebar luas secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat.

Selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan juga dilihat aktif mempromosikan kesedaran kesihatan melalui kempen ‘Fit Malaysia’ yang kini berjaya mewujudkan fenomena ‘gemar beriadah’ dalam kalangan generasi muda.

“Aktiviti larian seperti Marathon kini dilihat sering dikendalikan oleh pelbagai pihak dan sambutan umum oleh masyarakat amat memberangsangkan. Namun, faktor utama yang menyumbang kepada fenomena obesiti dan penyakit kronik iaitu pemakanan yang tidak seimbang, masih menjadi isu yang sukar ditangani.

“Budaya gemar makan dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan hasil diversiti bangsa di negara kita. Keunikan kepelbagaian bangsa menyumbang kepada variasi resepi dan hidangan menarik,” katanya.

Di samping itu, katanya, perubahan gaya hidup di bandar yang sibuk juga menyumbang kepada budaya makan luar.

Jsdi, untuk mengubah corak dan budaya pemakanan masyarakat menjadi cabaran utama dan harus dijadikan fokus usaha pihak-pihak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Muhammad Hakim mencadangkan supaya Kelab Doktor Muda di bawah naungan KKM diperluaskan kepada semua sekolah baik di peringkat rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara bagi memupuk kesedaran terhadap bahayanya penyakit kronik.

“Melalui projek Kelab Doktor Muda, pelbagai usaha pengenalan kepada penyakit asas dan semangat cintakan kesihatan dapat dipupuk melalui pendekatan dan aktiviti yang lebih interaktif dan menarik,” katanya. – BERNAMA