Kilang Bingkai Terbakar Di Jalan Datuk Kumbar, Pemilik Rugi RM3 Juta

Hock Tyan menunjukkan sebahagian kawasan kilangnya yang musnah 90 peratus dan mengakibatkan kerugian RM3 juta
ALOR SETAR - Seorang lelaki kerugian RM 3 juta setelah kilang membuat bingkai gambar miliknya terbakar dalam suatu kejadian di Kampung Jelai, Jalan Datuk Kumbar, malam kelmarin.

Pemiliknya, Gan Hock Tyan, 53 berkata, kebakaran  terbabit memusnahkan 10 buah komputer, lima buah mesin laser dan beberapa kelengkapan lain.

Menurutnya, sebanyak 60,000 bingkai gambar yang siap diproses juga musnah dengan 6,000 daripadanya merupakan tempahan daripada maktab perguruan sempena konvokesyen mereka.

"Ketika kejadian, saya berada di rumah sebelum menerima panggilan kira-kira jam 8.45 malam daripada pekerja memaklumkan mengenai kebakaran.

“Saya agak terkejut dan terus menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk meminta bantuan,” katanya.

Hock Tyan berkata, kilangnya itu sudah beroperasi hampir 20 tahun dan beroperasi 24 jam sehari.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 8.51 malam.

“Kebakaran menyebabkan kilang terbabit musnah 90 peratus dan operasi mengawal api dijalankan oleh 20 anggota bomba,” katanya

Menurutnya, api berjaya dikawal dalam masa 30 minit dan seorang anggota bomba berusia 27 tahun mengalami sesak nafas ketika operasi memadam api berjalan.

“Seorang orang awam, yang berusia 17 tahun turut cedera di tangan sebelum dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Sumber: Sinar Harian