Konate Tekad Bantu T-Team Cipta Kejutan Ke Final


KUALA TERENGGANU – ‘Awang import’ Makan Konate tekad mahu mencipta sejarah dalam membantu membawa pasukan T-Team ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.

Justeru, sebagai langkah merealisasikan impian itu, pemain berusia 25 tahun itu berharap kesemua pemain terus memberi komitmen penuh apabila menentang Selangor pada aksi separuh akhir kedua di sini, Sabtu ini.

Walaupun ketinggalan 1-2 pada separuh akhir pertama, Konate menganggap ini adalah peluang terbaik untuk pasukan itu membuat penampilang sulung di final Piala Malaysia dengan sokongan penyokong serta tuah gelanggang sendiri.

“Fokus kami hanya untuk memenangi perlawanan penting ini,” kata pemain kelahiran Mali itu kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, ketika ini semua pemain sibuk membuat persediaan mental dan fizikal menerusi latihan yang dicorakan oleh ketua jurulatih, Rahmad Darmawan.

Biarpun tanpa kelibat rakan senegara Abdoulaye Maiga di barisan depan dalam kesebelasan utama, beliau yakin kehadiran semula perancang utama, Dilshod Sharofetoinov, dapat menyuntik semangat pemain untuk memburu kejayaan.

Sharofetoinov, pemain kelahiran Uzbekistan, sebelum ini tidak dapat diturunkan pada aksi separuh akhir pertama akibat penggantungan satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.

Konate, pemain tengah yang sering kali diberi peranan menggempur bentang pertahanan lawan, berkata kehadiran semula Sharofetoinov dapat memperkuatkan barisan serangan.

Beliau yakin pasukannya mampu menampilkan aksi yang lebih baik berbanding perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, dua minggu lepas. – BERNAMA