Lelaki Muat Naik Gambar Lucah Kanak-kanak Di Laman Sosial Ditahan


KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai memuat naik gambar lucah kanak-kanak di laman sosial di Jinjang Utara di sini semalam.

Lelaki itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di rumahnya dalam operasi pada pukul 9.50 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis menerima maklumat mengenai aktiviti eksploitasi kanak-kanak di laman sosial daripada Polis Taiwan.

“Gambar-gambar lucah kanak-kanak ini dipercayai dimuat naik di Malaysia berdasarkan ‘IP address’ komputer (lelaki itu),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Amar Singh berkata siasatan mendapati ‘IP address’ tersebut didaftarkan atas nama lelaki tempatan yang dipercayai membuat perkongsian gambar lucah melibatkan kanak-kanak di internet.

“Polis turut merampas pelbagai barang antaranya telefon bimbit, komputer riba, modem, CPU (unit pemprosesan pusat) dan pasport daripada lelaki itu.

“Barang kes telah dihantar ke Jabatan Forensik untuk dianalisa dan siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan,” katanya.

Amar Singh berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki atau menyebarkan bahan lucah yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun. – BERNAMA