Lima Lelaki Didakwa Menculik Seorang Pengurup Wang


GEORGE TOWN – Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik seorang pengurup wang dengan tujuan menuntut wang tebusan, RM3 juta, semalam.

T. Shasitaran, 32, M. Ashogan, 33, Muhamad Sultan Ahmad Kabil, 37, Ong San Chia, 31, dan Yoh Shyh Ming, 27, didakwa dengan niat bersama bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta daripada seorang lelaki berusia 60 tahun yang merupakan pengurup wang dengan cara melarikan lelaki itu secara salah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan rumbia berdekatan Kristal Garden, Bayan Lepas di sini antara 10.30 hingga 10.45 pagi, pada 28 Sept lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan.

Majistret Mohd Amin Shahul Hamid menetapkan 14 Dis depan untuk sebutan kes.

Shasitaran, Ashogan dan Muhamad Sultan diwakili peguam A. Mattan manakala Ong dan Yoh diwakili peguam Jason Khor. – BERNAMA