Lucut Kewarganegaraan: PPBM Kedah Enggan Jawab DAP Johor


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri Kedah enggan memberi sebarang komen terhadap persoalan sama ada parti itu akan melaksanakan dasar agar kerajaan melucutkan kewarganegaraan mereka yang tidak mahir dalam bahasa kebangsaan jika berkuasa kelak.

Penyelaras Keahlian PPBM Alor Setar, Abu Osman Awang ketika dihubungi Kedahnews.com hari ini berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang komen berkenaan isu berkenaan buat masa ini bagi mengelak wujud konflik berhubung parti tersebut.

"Kalau saya komen sebarangan, jadi rosak parti. Kita apa pun kita nak cuba nak bagi elok, kan.

"Jadi buat masa ni saya no comment lah," katanya enggan mengulas mengenai kontroversi terbaru yang melanda parti baru itu.

Memetik laporan portal pro-pembangkang, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Skudai, Dr Boo Cheng Hau semalam mempersoal sama ada PPBM akan melaksanakan dasar melucutkan kewarganegaraan bagi rakyat di negara ini yang tidak mahu berbahasa kebangsaan.

Menurut Dr Boo, cadangan dasar tersebut telah dikemukakan oleh Setiausaha Agung PPBM, Shahruddin Salleh, yang baru dilantik ke jawatan kepimpinan utama parti baru itu pada Khamis lalu.

"Setiausaha agung PPBM telah beberapa kali mengulangi bahawa semua pelajar termasuk orang Melayu yang gagal dalam Bahasa Malaysia perlu dilucutkan kewarganegaraan mereka.

"Adakah ini akan menjadi dasar baru PPBM apabila ia berkuasa? Bolehkah kita bekerja bersama-sama dengan semua retorik fanatik ini?," soal Dr Boo.

Shahruddin yang juga merupakan Adun Jorak pada dua tahun lalu mencetus kekecohan apabila mencadangkan kerajaan menjalankan ujian khas untuk bahasa Melayu bagi melucutkan kewarganegaraan mereka yang tidak mahir menggunakan bahasa kebangsaan tersebut. -Kedahnews.com