Mahkamah Tangguh Semakan Keputusan Kes Anwar Liwat

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menangguhkan pada satu tarikh lain keputusan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat penangguhan keputusan tersebut selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

Beliau bersidang bersama-sama dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Barisan pendakwaan diketuai oleh Ketua Unit Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid manakala Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai barisan pembelaan.

Mahkamah tertinggi negara mendengar permohonan semakan Anwar dalam usaha terakhirnya mengetepikan keputusan panel terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014.

Terdahulu, pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Anwar telah disabitkan kesalahan selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria pada 10 Februari tahun lalu, menolak rayuan Anwar agar dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat Mohd. Saiful lapan tahun lalu.

Kesalahan Anwar, 68, berkenaan dilakukan di alamat Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut manakala Mahkamah Rayuan mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014. – Agensi